Cadang bangunkan 'uptown' di Dataran Stadium Hang Jebat

Noh Omar
Noh Omar
A
A
A

MELAKA - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bercadang membangunkan sebuah pusat penjaja 'uptown' bagi menempatkan kira-kira 500 peniaga dan penjaja kecil dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Dataran Stadium Hang Jebat, Krubong di sini pada tahun hadapan.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pusat penjaja itu akan menempatkan golongan berkenaan termasuk penjaja informal yang kebanyakan berniaga di tepi jalan, tidak mempunyai lesen dan tidak berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Tapak dah ada jadi ini satu cadangan yang baik dan MEDAC akan cuba bantu untuk mengumpulkan penjaja ini di satu kawasan seperti 'uptown', ia lebih tersusun dan memberi kelebihan kepada golongan itu.

"Kita juga akan membincangkan cadangan ini dengan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk mendapatkan kebenaran tapak bagi membangunkan pusat penjaja tersebut dan ia akan menjadi satu tarikan medan selera baharu di DUN berkenaan," katanya kepada pemberita di Taman Krubong Jaya di sini pada Jumaat.

Noh berkata, MEDAC sentiasa peka dengan masalah yang dihadapi penjaja informal di negara ini dan pelbagai bantuan disediakan termasuk pinjaman berjumlah RM10,000 tanpa faedah di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional).

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil yang disambut pada 18 November setiap tahun akan diadakan di Putrajaya pada 3 Disember ini.

"Kita akan memberikan tumpuan kepada peniaga kecil atau perniagaan mikro kerana mereka ramai dan perniagaan hanya memerlukan modal sedikit. Baru-baru ini kita dapat peruntukan sebanyak RM220 juta daripada Tekun Nasional untuk memberi bantuan kepda golongan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) termasuk yang informal," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: