Peruntukan DUN sama rata serlah kematangan berpolitik

Ling Tian Soon
Ling Tian Soon
A
A
A

JOHOR BAHRU - Langkah kerajaan negeri memperuntukkan RM200,000 untuk semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk pembangkang dalam Bajet Johor 2022 menunjukkan kematangan berpolitik.

Ketua Pemuda MCA Johor, Ling Tian Soon berkata, keputusan itu juga merupakan satu bentuk demokrasi terpuji yang mengutamakan kepentingan rakyat.

Beliau turut memuji pemberian peruntukan tambahan sebanyak RM50,000 kepada semua ADUN bagi tujuan sambutan perayaan.

"Saya menyambut baik langkah kerajaan negeri yang tidak pernah membezakan peruntukan setiap kawasan Dewan Undangan Negri (DUN) walaupun diwakili oleh pembangkang.

"Peruntukkan ini adalah untuk tujuan pengurusan dan pentadbiran di kawasan DUN masing-masing serta peruntukan kerja-kerja kecil dan bekalan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad membentangkan Bajet 2022 dengan defisit kali kedua sebanyak RM286.47 juta selepas merekodkan belanjawan lebihan selama 10 tahun berturut-turut sebelum ini.

Menerusi bajet negeri itu kata Hasni, kesemua 56 ADUN Johor akan menerima peruntukan tetap RM200,000 setiap tahun bagi tujuan pengurusan dan pentadbiran di kawasan DUN masing-masing serta bagi bantuan peruntukan kerja kecil di kawasan mereka.

Mengulas lanjut, Tian Soon berkata, pihaknya juga menyokong hasrat kerajaan negeri mahu menjadikan Johor sebagai hab makanan untuk pasaran domestik, serantau dan antarabangsa.

Artikel Berkaitan: