Gagasan Bebas umum manifesto

Sebelum ini 13 calon Bebas di bawah Gagasan Bebas menandatangani akuan bersumpah (SD) tidak akan menyertai mana-mana parti politik sekiranya menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.
Sebelum ini 13 calon Bebas di bawah Gagasan Bebas menandatangani akuan bersumpah (SD) tidak akan menyertai mana-mana parti politik sekiranya menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.
A
A
A

MELAKA - Gagasan Bebas yang terdiri daripada 13 calon Bebas yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu ini mengumumkan manifesto mereka pada Khamis jika diberi mandat sebagai wakil rakyat.

Manifesto yang mengandungi 12 inisiatif antaranya menyediakan rumah mampu milik bersaiz minimum 1,000 kaki persegi, menggantikan tanah rizab Melayu yang digunakan, pemodenan industri luar bandar untuk Bumiputera, melahirkan 100 usahawan di setiap daerah setiap tahun dan menaik taraf kehidupan rakyat.

“Selain menaik taraf kehidupan rakyat, menjamin kebebasan dan hak kemanusiaan dan mengangkat hak asasi dan menyanggah diskriminasi,” kata gagasan itu dalam kenyataan pada Khamis.

Seramai 13 daripada 22 calon Bebas mengambil langkah bergabung dan berkongsi manifesto untuk bersama-sama bersaing dengan 90 calon lagi dalam PRN Melaka.

Calon gabungan itu antaranya merangkumi Ariff Adly Mohammad (Telok Mas), Mohd Zahar Hashim (Sungai Udang), Abdul Hamid Mustapah (Bukit Katil), Ahmad Muaz Idris (Ayer Molek), Datuk Kamisan Palil (Kuala Linggi) dan Datuk Dr Norazlanshah Hazali (Serkam).

Turut berada dalam gabungan itu ialah Mohd Akhir Ayob (Asahan), Azefen Amin (Gadek), Mohd Jaini Dimon (Paya Rumput), Azlan Daud (Machap Jaya), Mohd Erfan Mahrilar (Durian Tunggal), Muhamad Hafiz Ishak (Duyong) dan Sabarudin Kudus (Rembia).

Kesemua calon Bebas itu juga menandatangani akuan bersumpah (SD) yang antaranya mengelak mencabuli mandat yang diberikan pengundi pada PRN Melaka dengan menyertai mana-mana parti politik sekiranya menang. - Bernama

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:13 calon Bebas tandatangani akuan bersumpah

ARTIKEL BERKAITAN:PRN Melaka: 15 calon bebas wujudkan 'Gagasan Bebas'