Rakyat Pahang masih pandang remeh SOP Covid-19

Dr Nor Azimi
Dr Nor Azimi
A
A
A

KUANTAN - Segelintir masyarakat di negeri Pahang dikesan masih memandang remeh prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 apabila ada yang didapati tidak mematuhinya.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, keadaan itu menunjukkan seolah-olah tahap kepatuhan SOP dalam kalangan mereka semakin pudar.

Menurutnya, situasi itu dilihat ketika memasuki dua kedai makan di sebuah bandar kecil di negeri ini pada minggu lalu.

"Saya sengaja memilih restoran biasa di bandar kecil yang tidak ramai orang.

Salah satu kedai saya dapati pemilik kedai (suami isteri) dan beberapa pelanggan (bukan sedang makan) tidak memakai pelitup muka.

"Isteri pemilik kedai hanya letak pelitup muka di dagu dan bila lihat saya, dia terus menariknya ke atas, manakala suaminya ketika itu baru memakainya," katanya melalui hantaran di Facebooknya pada Khamis.

Nor Azimi berkata, ketika itu juga beliau melihat dua pelanggan masuk dan tidak memakai pelitup muka sebagaimana yang ditetapkan.

"Situasi sama dilihat di sebuah lagi kedai makan di mana pemilik kedai juga tidak memakai pelitup muka dan merokok.

Artikel Berkaitan:

"Bila nampak saya, baru dia pakai dan campak putung rokok.

Dua lelaki (pelanggan) turun dari lori terus masuk kedai tanpa pelitup muka...tak tahu nak kata apa," katanya.

Tambahnya, ada kedai yang menyediakan buku catatan rekod pelanggan, namun keadaannya sudah lusuh seolah-olah ia hanya diletakkan untuk mengelak disaman dan bukan atas tanggungjawab bersama mengawal penularan Covid-19.

"Itu yang saya nampak.

Tidak pasti lagi berapa ramai yang masuk kedai tidak periksa suhu badan dan imbas kod MySejahtera.

"Usaha cerita pasal vaksin lengkap untuk 'dine-in' barang kali tiada siapa yang peduli," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang hanya mematuhi SOP bila melihat pihak berkuasa sedangkan penguatkuasaan kendiri lebih utama bukan tunggu penguat kuasa datang kompaun.

"Saya simpulkan di sini bahawa masyarakat sudah alpa tentang SOP.

Barangkali SOP bukan lagi ke laut tapi sudah jatuh ke dasar laut, sama ada mereka sudah bosan atau letih kerana pandemik, jangan salahkan kerajaan atau Kementerian Kesihatan jika kes kembali melonjak," katanya.

Katanya, SOP masih relevan di mana pematuhan SOP dan pengambilan vaksin masih kaedah terbaik dalam kawalan jangkitan Covid-19.