Isu larangan penjualan arak gamatkan Dewan Rakyat

Dewan Rakyat gamat apabila isu larangan penjualan arak di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina dibangkitkan oleh ahli Parlimen pembangkang.
Dewan Rakyat gamat apabila isu larangan penjualan arak di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina dibangkitkan oleh ahli Parlimen pembangkang.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat sesi petang pada Khamis gamat seketika apabila isu larangan penjualan arak di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mulai 1 November lalu dibangkitkan.

Ketegangan itu bermula ketika Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menjawab isu yang dibangkitkan beberapa ahli Parlimen pembangkang termasuk Teresa Kok (PH-Seputeh) dalam perbahasan Bajet 2022 sebelum ini.

Dalam jawapan balas ketika sesi penggulung Bajet 2022 itu, Shahidan berkata, pengharaman yang dibuat itu tidak sesekali menyentuh sensitiviti mana-mana kaum bukan Islam, sebaliknya bertujuan untuk membendung masalah sosial daripada terus berleluasa.

Malah, katanya isu berkenaan tidak seharusnya diperbesarkan lagi kerana tujuan asalnya adalah untuk demi kebaikan bersama.

Tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan itu, Tan Kok Wai (PH-Cheras) bangkit mempersoalkan adakah formula ‘menang-menang’ yang didakwa tercapai sebelum ini adalah hanya janji kosong.

“Sehingga kini, apa yang kami dapat (dimaklumkan) adalah keputusan (untuk haram penjualan arak di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina oleh DBKL) adalah sama dengan keputusan mantan menteri (Wilayah Persekutuan). Ini membayangkan menteri tidak jujur dan ikhlas,” katanya.

Ketegangan terus memuncak apabila Teresa Kok mempersoalkan adakah wujud diskriminasi terhadap peniaga khususnya membabitkan peniaga kedai ubat Cina, sedangkan minuman keras itu dibenar dijual di pasar raya besar.

“Adakah ini satu 'double standard' (pilih kasih). Sedangkan kita tahu selama ini kedai-kedai ini (kedai ubat Cina) mematuhi arahan DBKL dengan tidak akan menjual kepada orang Islam dan remaja bawah umur dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, kalau semua peraturan ditetapkan dipatuhi, saya kira apa yang dilakukan menteri ini adalah 'double standard'. Yang Berhormat Arau bagi peluang kepada syarikat besar tapi kedai kecil tidak dibenarkan,” katanya.

Belum sempat Shahidan menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Teresa dan Kok Wai itu, beberapa ahli Parlimen pembangkang turut bangkit mencelah mempersoalkan perkara sama.

Keadaan itu berlanjutan lebih 15 minit, sebelum ditenangkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun supaya semua ahli Parlimen memberi peluang kepada Shahidan untuk menjawab.

Bagaimanapun, pertikaman lidah tidak terhenti di situ, sebaliknya berlanjutan sehingga Azhar memaklumkan masa untuk Shahidan menggulung perbahasan bagi kementeriannya telah tamat.