Terengganu haramkan jual telur penyu, tuntung

Dr Azman Ibrahim
Dr Azman Ibrahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Terengganu mengharamkan sepenuhnya penjualan telur penyu dan tuntung laut di negeri ini bermula 1 Jun tahun depan bagi memulihara haiwan reptilia marin yang semakin pupus itu.

Undang-undang baharu itu akan dikuatkuasakan susulan pindaan Enakmen Penyu 1951 telah diluluskan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri ke-14 (Bajet) pada Khamis.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, justeru, telur penyu bukan daripada spesis belimbing yang sebelum ini dijual secara terbuka tidak lagi dibenarkan.

“Terengganu satu-satunya negeri yang membenarkan penjualan telur penyu. Larangan hanya membabitkan jualan telur penyu belimbing tetapi sebenarnya spesis ini sudah enam tahun tidak kelihatan mendarat di pantai Terengganu.

“Jadi enakmen sebelum ini sudah tidak relevan kerana telur penyu yang dilarang penjualannya sebenarnya sudah tidak wujud di Terengganu,” katanya kepada media selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Selain larangan penjualan telur penyu, pindaan enakmen baharu itu turut mengetatkan hukuman kepada mereka yang mengganggu atau membunuh penyu iaitu denda antara RM50,000 hingga RM200,000 serta penjara selama setahun.

Menurut Dr Azman, jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding denda sebanyak RM3,000 yang dikenakan sebelum ini.

Beliau berkata, undang-undang lebih ketat itu bukan bertujuan menghukum sebaliknya bersifat pencegahan atas dasar melindungi penyu yang merupakan ikon bagi negeri Terengganu.

Artikel Berkaitan:

“Impak pindaan ini tidak begitu besar kerana penjualan telur penyu bukan punca pendapatan utama peniaga di sini selain bukan makanan asasi masyarakat kita.

“Kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan Negeri akan memberikan penerangan peraturan baharu ini kepada pihak yang terlibat sebelum undang-undang itu dikuatkuasakan,” katanya.

Selain itu kata Dr Azman, pindaan Enakmen Penyu 1951 turut meluluskan penubuhan Tabung Amanah Pemeliharaan Penyu bagi membolehkan penubuhan tabung pemuliharaan dan sesuatu caj dapat dilaksanakan.

“Pelaksanaan ini akan banyak membantu kerajaan negeri dan Jabatan Perikanan mendapatkan sumber kewangan secara telus supaya pengurusan dan pemuliharaan haiwan terus dapat dilaksanakan,” katanya.