Kebun kerap ditenggelami air, pekebun kerugian ribuan ringgit

Mohamad Ali (kanan) ketika menerima aduan masalah yang menimpa pekebun di Sungai Udang pada Khamis.
Mohamad Ali (kanan) ketika menerima aduan masalah yang menimpa pekebun di Sungai Udang pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Penambakan tanah berhampiran Tapak Pelupusan Sanitari Sungai Udang di sini didakwa menyebabkan kawasan sekitar sering dinaiki air mengakibatkan pekebun berhampiran mengalami kerugian beribu ringgit sejak lebih dua tahun lalu.

Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, pekebun itu telah lebih 20 tahun mengusahakan tanah mereka sebelum lokasi tapak pelupusan sampah berkenaan wujud.

Menurutnya, kawasan tambakan tanah yang didakwa dilakukan pihak yang menguruskan lokasi tapak pelupusan sampah berkenaan gagal menyediakan sistem pengaliran sistematik mengakibatkan air turun dari tanah yang ditambak ke kebun penduduk.

"Apabila mereka membuat kerja tambakan, maka tanah yang ditambak menjadi tinggi manakala kawasan sekitar rendah.

"Apabila hujan lebat berlaku air bertakung dan menyebabkan tanaman pokok musnah," katanya.

Mohamad Ali berkata, sekiranya perkara ini berterusan dan tiada tindakan diambil, tidak mustahil pihaknya akan melakukan bantahan secara besar-besaran.

Tambahnya, sistem pelupusan sampah di situ dicadang menggunakan sistem dan teknologi moden bagi mengelakkan berlakunya banjir dan juga pencemaran.

"Sistem yang lebih maju dan berteknologi tinggi sepatutnya digunakan bagi mengatasi masalah sampah di Melaka yang akhirnya memberi kesan kepada penduduk sekitar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pekebun Tee Seng Hoo meluahkan rasa sedih apabila lebih 10 batang pokok tanaman musnah termasuk pokok durian, pokok jambu dan pokok pisang.

"Saya juga telah memaklumkan Pejabat Daerah Melaka Tengah tentang hal ini namun masih tiada sebarang penyelesaian," katanya.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my