4,822 OKU terjejas pendapatan akibat Covid-19

Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff . - Gambar fail
Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff . - Gambar fail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merekodkan seramai 4,822 orang kurang upaya (OKU) yang bekerja terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 sehingga 14 Oktober lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, bagaimanapun kesemua mereka menerima bantuan kewangan sebanyak RM500 sebulan untuk tempoh tiga bulan bermula September hingga November 2021.

Tambah beliau, inisiatif lain yang diambil oleh KPWKM bagi membantu OKU terbabit ialah melanjutkan kelulusan Elaun Pekerja OKU (EPOKU) kepada seramai 92,265 penerima.

"Kita tidak mengira status pekerjaan mereka sama ada masih bekerja atau telah kehilangan pekerjaan kerana kerajaan memandang serius isu ini,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang meminta kementeriannya menyatakan statistik OKU yang telah hilang pendapatan dan pekerjaan akibat pandemik Covid-19 dan bagaimanakah KPWKM membantu dan apakah tindakan terhadap majikan mereka.

Mengulas lanjut, Siti Zailah memberitahu, selain kementeriannya, insentif Pemulih turut ditawarkan oleh kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi membantu majikan mengekalkan pekerja dan mengawal pengurangan bilangan pekerja yang diberhentikan termasuk pekerja OKU.

“KPWKM turut bekerjasama dengan KSM melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menganjurkan Karnival Khas OKU di seluruh Malaysia khusus untuk golongan OKU mendapatkan pekerjaan dan mempromosi faedah menggajikan OKU yang ditawarkan oleh kerajaan kepada majikan,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan, Tze Tzin berhubung sama ada kementeriannya menjalan siasatan terhadap pekerja OKU yang di kehilangan kerja disebabkan diskriminasi, Siti Zailah memberitahu berdasarkan rekod KSM, tiada OKU yang kehilangan kerja.

Artikel Berkaitan:

“Mengikut maklumat yang kita peroleh daripada KSM bahawa tiada golongan OKU yang direkodkan hilang pekerjaan.

“Begitu juga dalam portal MyFutureJobs yang mendapati tempoh Januari hingga September 2021, seramai 669 pencari kerja OKU telah berdaftar,” katanya.