Diplomasi budaya antara kerangka Dasar Luar Baharu

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerangka Dasar Luar baharu yang sedang digubal Wisma Putra akan memasukkan beberapa pendekatan baharu termasuk diplomasi budaya, Dewan Rakyat dimaklumkan pada Rabu.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, draf kerangka berkenaan bertajuk ‘Focus in Continuity of Framework for Malaysia’s Foreign Policy in a Post-pandemic World’ telah diluluskan Kabinet pada 3 November lepas.

Katanya, di bawah pendekatan diplomasi budaya, Kementerian Luar akan memainkan peranan membantu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam mempromosi budaya di pentas antarabangsa.

“Kalau dahulu semasa saya menjadi Menteri di KKMM; saya dan Menteri MOTAC berkata mari kita minta bantuan Menteri Luar untuk promosi budaya di pentas antarabangsa. Kini Kementerian Luar ingin mengatakan, kami sudah bersedia membantu MOTAC, KKMM dan agensi-agensi lain.

“Cuma dari segi bajet dan struktur, ini baru kita nak bina secara berdikit-dikit dan kita belajar dari pengalaman negara-negara lain, Indonesia, Korea Selatan dan sebagainya,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat dasar.

Saifuddin berkata, dasar-dasar asas dalam Dasar Luar bagaimanapun akan kekal.

“Tiada perubahan dasar terhadap ASEAN, OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam), PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu), dasar berkecuali dan sebagainya, namun ada beberapa pendekatan dan bidang baharu yang kita akan terokai, termasuklah diplomasi kebudayaan,” katanya.

Mengambil contoh ucapan Presiden Korea Selatan di Perhimpunan PBB 20 September lepas dengan diiringi kumpulan K-Pop popular BTS, Saifuddin berkata, beliau mahu seni dan budaya dilihat dari sudut pandangan yang luas. -Bernama

Artikel Berkaitan: