43 sampel RON95 tiada kesan air - Armizan

Keputusan analisis bagi kesemua 43 sampel petrol RON95 yang dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia menunjukkan kandungan air adalah kurang daripada 0.05 peratus. Foto hiasan
Keputusan analisis bagi kesemua 43 sampel petrol RON95 yang dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia menunjukkan kandungan air adalah kurang daripada 0.05 peratus. Foto hiasan
A
A
A

 

KUALA LUMPUR - Keputusan analisis bagi kesemua 43 sampel petrol RON95 yang dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia menunjukkan kandungan air adalah kurang daripada 0.05 peratus.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia bermaksud kandungan air adalah di bawah had pengesanan minimum.

Menurutnya, sehingga 31 Oktober 2026, pemeriksaan yang dilakukan melibatkan lapan jenama stesen minyak di lapan negeri dan tiga depoh syarikat minyak.

"Sebanyak 262 sampel Petron 95 telah diambil, merangkumi 259 sampel di stesen minyak dan tiga sampel di depoh syarikat minyak.

"Semua sampel berkenaan telah dihantar secara berperingkat kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi mengesan sebarang unsur kehadiran air dan bahan asing yang lain.

"Mengambil kira analisis bagi keseluruhan benda asing akan mengambil masa, tumpuan segera diberikan kepada analisis bagi parameter pengesanan air. Laporan awal bertarikh 29 Oktober 2026 melibatkan 43 sampel telah diterima daripada Jabatan Kimia," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman, mengenai keputusan analisis Jabatan Kimia terhadap sampel RON95 serta tindakan memulihkan keyakinan pengguna dan pihak yang bertanggungjawab menyediakan pampasan kepada pengguna terjejas.

Tambah Armizan, tindakan itu dibuat susulan terdapat dakwaan bahawa bahan api petrol RON95 mengandungi bahan asing yang telah menyebabkan kerosakan kepada enjin kenderaan pengguna di beberapa negeri.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, aduan itu telah diterima oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bermula 3 Oktober 2026.

"Selain itu, syarikat minyak Petron dan Chevron (jenama Caltex) turut menghantar sampel petrol RON95 dari stesen yang menerima aduan ke makmal masing-masing, termasuk di luar negara bagi pengujian.

“Kedua-dua syarikat telah merangka program pemulihan pelanggan melalui pembayaran secara ihsan (goodwill basis) berpandukan kriteria yang telah ditetapkan, tanpa sebarang pengakuan terhadap kesalahan atau ‘liability diperingkat ini.

“Pembayaran tersebut akan diberikan kepada pelanggan yang telah mengemukakan aduan lengkap berserta dokumen sokongan yang sah,” jelasnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!