Guna kanabis bagi perubatan, kemuka pada PBKD untuk dinilai

Permohonan bagi penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan boleh dikemukakan kepada PBKD bagi dinilai dan didaftarkan sekiranya mempunyai bukti saintifik yang mencukupi untuk dipasarkan. - Foto hiasan 123rf
Permohonan bagi penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan boleh dikemukakan kepada PBKD bagi dinilai dan didaftarkan sekiranya mempunyai bukti saintifik yang mencukupi untuk dipasarkan. - Foto hiasan 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permohonan bagi penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan boleh dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) bagi dinilai dan didaftarkan sekiranya mempunyai bukti saintifik yang mencukupi untuk dipasarkan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, bagaimanapun ketika ini tiada produk berasaskan kanabis digunakan bagi tujuan perubatan yang berdaftar di Malaysia.

“Sekiranya terdapat pihak yang mempunyai bukti saintifik mencukupi untuk menggunakan kanabis bagi tujuan perubatan dengan mengambil kira aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanannya (boleh membuat permohonan).

“Permohonan untuk mendaftarkan keluaran mengandungi kanabis bagi tujuan pengubatan itu boleh dikemukakan kepada PBKD untuk dinilai dan didaftarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta seterusnya dipasarkan di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat pada Rabu.

Katanya, PBKD pernah mendaftarkan satu produk berasaskan kanabis iaitu ‘Sativex’ pada tahun 2014 namun atas permintaan pihak syarikat itu pendaftaran produk berkenaan dibatalkan pada tahun 2017.

Khairy berkata, akta sedia ada yang mengawal selia kanabis dan hasilnya di negara ini iaitu Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952 tidak menghalang penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.

Sementara itu, mengulas mengenai pemilihan vaksin pneumococcal conjugate (PCV-10) berbanding PCV-13 bagi mencegah penyakit pneumokokal invasif kerana dilihat PCV-13 lebih memberi perlindungan kepada kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mengambil kira saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Feb 2019, kedua-dua produk vaksin itu adalah berkesan dalam mengurangkan beban penyakit pneumokokal invasif.

"Pemilihan PCV-10 oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal dan Jawatankuasa Penilaian Harga tender adalah kerana produk vaksin ini menepati spesifikasi teknikal yang ditetapkan dan harganya pula adalah lebih kompetitif," katanya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Dasar dan Amalan Imunisasi Kebangsaan pada 2020 menetapkan dasar pemilihan PCV adalah vaksin yang berdaftar dengan PBKD dan meliputi sekurang-kurangnya 10 serotype pneumokokus. - Bernama