Jenazah Kapten Mohamad Affendi dikebumikan di Muadzam Shah

Jenazah Kapten Mohamad Affendi dibawa ke kampung halamannya di Muadzam Shah, Pahang untuk disemadikan.
Jenazah Kapten Mohamad Affendi dibawa ke kampung halamannya di Muadzam Shah, Pahang untuk disemadikan.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Jenazah juruterbang, Kapten Mohamad Affendi Bustamy yang maut dalam nahas pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas dalam sesi latihan di Pangkalan Udara Butterworth TUDM, Butterworth pada malam Selasa akan dikebumikan di kampung halamannya di Muadzam Shah, Pahang pada Rabu.

Jenazah Allahyarham dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya, di sini kira-kira jam 2 petang untuk dibawa ke kampungnya menggunakan pesawat milik TUDM.

Mayat Allahyarham Mohamad Affendi telah menjalani proses bedah siasat pada pagi Rabu sebelum dituntut ahli keluarganya.

Menurut adik Allahyarham yang hanya mahu dikenali sebagai Nur berkata, beliau bersama isteri Allahyarham yang enggan dikenali telah datang ke HSJ untuk proses pengecaman mayat arwah abangnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat TUDM terhempas

Kali terakhir pesawat Hawk Mk 108 terhempas pada 2017

Pesawat TUDM terhempas: Seorang terkorban, seorang cedera - Hishammuddin

Identiti mangsa pesawat TUDM terhempas dikenal pasti

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, arwah abangnya tinggal bersama isterinya di Labuan dan menjalani latihan di Pangkalan Udara Butterworth TUDM.

"Arwah abang datang ke sini (Pangkalan Udara Butterworth TUDM) untuk menjalani latihan, manakala kakak ipar sedang bercuti di Kelantan.

"Saya dan kakak ipar bergegas ke sini setelah menerima berita yang menimpa abang.

"Walaupun sedih, kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah," katanya dalam keadaan sebak ketika ditemui di pekarangan Jabatan Unit Forensik HSJ di sini pada Rabu.

Isteri Allahyarham bagaimanapun enggan ditemu bual kerana masih terkejut dengan kejadian yang menimpa suaminya itu.

"Saya minta beri ruang kepada kakak ipar," kata Nur lagi.

Allahyarham berusia 31 tahun merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan disifatkan sebagai anak yang bertanggungjawab ke atas keluarganya.

Dalam kejadian malam Selasa, Kapten Mohamad Affendi disahkan meninggal dunia dalam nahas pesawat TUDM yang terhempas dalam sesi latihan di Pangkalan Udara Butterworth TUDM, Butterworth.

Sementara, Mejar Mohd Fareez Omar, 33, dilaporkan yang mengalami kecederaan berada dalam keadaan selamat dan stabil dan kini sedang diberikan rawatan di HSJ.

Nahas itu berlaku pada lebih kurang jam 10.07 malam ketika kedua-dua juruterbang itu sedang melaksanakan latihan penerbangan (Night Flying).

Pihak TUDM juga akan menubuhkan Lembaga Siasatan terperinci mengenai insiden tersebut.