Bursa Malaysia dibuka rendah seketika sebelum meningkat semula

No Image Caption
A
A
A

BURSA Malaysia dibuka rendah namun kembali meningkat kemudiannya pada sesi awal dagangan Rabu, sekali gus meneruskan aliran kenaikan sebelum ini ketika sentimen pelabur terus dipacu oleh peningkatan semalaman Wall Street.

Pada 9.05 am, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.59 mata kepada 1,523.48 daripada 1,522.89 pada akhir dagangan, Selasa.

Indeks berkenaan dibuka susut 0.47 kepada 1,522.42 pada pagi ini.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 160 berbanding 133 manakala 231 kaunter lain tidak berubah, 1,807 tidak diniagakan dan 48 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 120.44 juta unit bernilai RM70.26 juta.

Dalam pada itu, Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata, pasaran saham Amerika Syarikat (AS) meningkat semula ketika Dow Jones naik 0.2 peratus, dipacu oleh pengumuman data jualan runcit yang kukuh 16.3 peratus bagi tahun ke tahun pada Oktober 2021 -- mengatasi jangkaan ahli ekonomi pada 12.0 peratus.

“Sejajar dengan peningkatan sentimen semalaman Wall Street, kami menjangkakan sokongan belian itu akan turut memberi kesan positif ke atas bursa tempatan, terutama saham teknologi selepas Nasdaq ditutup hampir mencecah paras tertinggi.

“Malah, memandangkan tempoh sekarang memasuki musim pelaporan, kami percaya penggiat pasaran akan menumpukan syarikat-syarikat dengan asas kukuh seperti perladangan dan saham mewah pada masa ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Petronas Chemicals masing-masing naik dua sen kepada RM8.11 dan RM8.33 manakala Public Bank, IHH Healthcare dan Tenaga meraih satu sen kepada RM4.03, RM6.56 dan RM9.60.

Bagi saham aktif, NWP naik satu sen kepada 39 sen manakala JAG, Tanco dan TA Win masing-masing tidak berubah pada 39.5 sen, 27.5 sen dan 14 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas meningkat 7.75 mata kepada 11,271.22 manakala Indeks FBMT 100 naik 5.44 mata kepada 10,908.22, Indeks FBM Emas Syariah menokok 0.71 mata kepada 12,267.20, FBM ACE menambah 32.77 mata kepada 6,891.0 dan FBM 70 meraih 12.19 mata kepada 14,907.50.

Bagi sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 22.38 mata kepada 15,176.37, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian sebaliknya susut 0.14 mata kepada 199.91 dan Indeks Perladangan naik 12.46 mata kepada 6,533.82. - Bernama