MAFI, KPDNHEP tubuh jawatankuasa tangani isu harga baja, racun

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menubuhkan jawatankuasa bersama bagi meneliti kaedah untuk menyelesaikan isu kenaikan harga baja dan racun.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiadee berkata, langkah itu dibuat bagi membantu petani dan pengusaha kecil yang berhadapan isu kenaikan harga baja dan racun secara mendadak ketika ini.

“Pada 10 November 2021, Mesyuarat Jawatankuasa Bersama diadakan yang melibatkan pihak berkepentingan termasuk wakil kementerian dan agensi serta pemain-pemain industri seperti the Malaysian CropLife & Public Health Association (MCPA), Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur-Sayuran Malaysia dan Persatuan Pekebun Buah-buahan Malaysia (MFFA).

“Berdasarkan perbincangan dan sesi libat urus yang diadakan dengan pihak berkepentingan, antara punca dikenal pasti berhubung isu ini adalah perubahan polisi daripada negara pengeksport, kenaikan kos bahan mentah, gangguan logistik serta spekulasi pasaran.

“Apabila bekalan baja dan racun berkurangan di pasaran dengan permintaan sentiasa berterusan daripada petani, maka peningkatan harga berlaku di sepanjang rantaian pembekalan produk tersebut,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang memintanya menyatakan apakah langkah-langkah dan tindakan yang diambil oleh kerajaan mengenai isu kenaikan kos input pertanian khasnya baja yang mencecah sehingga 70 peratus sehingga menjejas pendapatan petani.

Ronald berkata, MAFI dan KPDNHEP mengemukakan beberapa cadangan secara bersama untuk dipertimbangkan Jemaah Menteri pada 12 November lalu dengan memberi penekanan supaya kesan pelaksanaan mana-mana inisiatif, intervensi dan program kelak dapat dirasai oleh rakyat secara berpanjangan.

“Antara cadangan sedang dipertimbangkan untuk menangani isu ini termasuk melalui pelaksanaan subsidi atau insentif bersasar kepada golongan petani yang terkesan.

Artikel Berkaitan:

“MAFI dan KPDNHEP sentiasa peka dengan kenaikan harga baja dan racun bagi memastikan produktiviti pengeluaran tidak terjejas dan bekalan sentiasa mencukupi dengan harga yang stabil dan berpatutan,” katanya.