Lelaki parah ditetak anak jiran

ABDUL RAHIM
ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki parah ditetak dengan sebilah parang oleh anak jiran selepas bertanyakan tentang kehilangan beg tangan adik perempuannya, dalam kejadian di Pasir Panjang, di sini, Jumaat lalu.

Sehari sebelum kejadian iaitu pada Khamis, beg tangan adik mangsa mengandungi wang tunai RM1,500 dan dokumen bank yang diletakkan di atas meja makan di ruang tamu rumah sebelum meninggalkan rumah didapati hilang.

Menurut sumber, kehilangan beg tangan itu hanya disedari adik mangsa ketika hendak membeli makanan dan yakin beg tangan tersebut sudah dicuri selepas puas mencarinya di seluruh rumah.

"Adik mangsa yakin beg tangannya dicuri kerana semasa dia meninggalkan rumah, didapati ada beberapa orang lelaki tidak dikenali sedang lepak di rumah berhampiran sebelum menceritakan kepada mangsa, 40-an.

"Pada keesokan harinya (hari kejadian), mangsa ke rumah yang dimaksudkan sebelum bertanyakan tentang kehilangan beg tangan itu kepada anak tuan rumah yang berusia lebih kurang 26 tahun," katanya.

Sumber berkata, tidak berpuas hati dengan persoalan berkenaan, lelaki itu terus menampar pipi sebelah kanan mangsa dengan sekuat hati.

"Dalam menahan kesakitan itu, mangsa terus mengekori suspek masuk ke dalam rumah sebelum lelaki itu mengeluarkan sebilah parang, lalu menetak di beberapa bahagian tubuh badan mangsa dan berlaku pergelutan di antara mereka.

"Dalam pergelutan itu, meskipun berlumuran darah, mangsa masih sempat merampas parang sebelum melemparkan senjata tersebut ke atas bumbung rumah jiran berhampiran.

Artikel Berkaitan:

"Beberapa minit kemudian, anggota polis yang dihubungi jiran terdekat tiba di lokasi untuk meleraikan pergaduhan tersebut," katanya.

Susulan itu, ibu saudara mangsa yang ketika itu berada dilokasi bergegas membawa mangsa yang berlumuran darah ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din mengesahkan ada menerima laporan ketika di hubungi Sinar Harian hari ini.

Jelasnya kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan parah dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.