572 projek naik taraf sekolah daif telah siap

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 575 daripada 879 projek menaik taraf dan membangun semula bangunan daif sekolah di seluruh negara telah disiapkan setakat 10 November lepas.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, 129 projek lagi berada dalam fasa pembinaan, manakala selebihnya pada fasa prabina.

Beliau berkata, kesemua projek berkenaan telah diluluskan menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan Rolling Plan Pertama RMK12.

“Keutamaan kementerian adalah kepada bangunan yang berada pada skala enam dan skala tujuh untuk dibina bangunan gantian mengikut keperluan,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjelaskan, skala enam adalah bangunan tidak selamat dengan pengesahan pihak teknikal Pejabat Pendidikan Daerah atau Jabatan Pendidikan Negeri, manakala skala tujuh merujuk kepada bangunan tidak selamat dengan pengesahan syor roboh daripada Jabatan Kerja Raya.

Mengenai usaha Kementerian Pendidikan (KPM) susulan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Radzi berkata, pihaknya sedang merangka dasar yang lebih komprehensif dan menyeluruh bagi memperkukuh pemilihan murid ke sekolah berasrama penuh (SBP).

“Usaha ini adalah untuk memberi keutamaan kepada murid berpotensi yang terdiri dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan. Ini adalah selaras dengan usaha KPM untuk menyediakan akses pendidikan yang berkualiti dan saksama kepada murid B40,” katanya.

Sementara itu, menyentuh isu pemeriksaan haid dalam kalangan murid perempuan, Radzi berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis peringatan kepada semua institusi di bawah KPM supaya memastikan perkara sedemikian tidak lagi berlaku pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

“Berkaitan tindakan KPM terhadap guru sekiranya terbukti ada guru yang terlibat, maka tindakan selanjutnya akan diambil,” katanya menjawab celahan Teo Nie Ching (PH-Kulai) yang ingin tahu langkah penyelesaian serta tindakan KPM berhubung perkara tersebut.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung Selasa. - Bernama