Gangsa dalam tangan

Skuad wanita negara akan bertemu Filipina dalam separuh akhir.
Skuad wanita negara akan bertemu Filipina dalam separuh akhir.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan boling lelaki dan wanita kebangsaan mempamerkan aksi cemerlang pada hari terakhir Kejohanan Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, hari ini dengan memastikan sekurang-kurangnya mereka membawa pulang pingat gangsa.

Mereka juga akhirnya menamatkan 'sumpahan suku akhir' apabila kedua-dua pasukan lelaki dan wanita berjaya melangkah ke peringkat empat terbaik.

Pada aksi suku akhir, pasukan lelaki diketuai bekas juara dunia Muhammad Rafiq Ismail, Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Tun Ameerul Luqman Al-Hakim Tun Hasnul Azam dan Muhammad Syazirol Shamsudin menewaskan pasukan Amerika Syarikat 279-258.

Momentum kemenangan itu diteruskan pasukan wanita yang terdiri daripada Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Natasha Mohamed Roslan, Nur Syazwani Sahar dan Faten Najihah Ahmad Faik, yang mengatasi pasukan Jerman 235-199.

Pasukan lelaki akan menentang Korea Selatan manakala skuad wanita akan bertemu Filipina dalam separuh akhir.

Kesemua atlet negara menerusi acara perseorangan, regu dan trio, gagal melepasi peringkat suku akhir sejak kejohanan itu bermula 6 November lepas.

Pengurus pasukan, Maradona Chok memberitahu Bernama kekecewaan itu membangkitkan semangat mereka untuk bermain bersungguh-sungguh dalam acara pasukan.

“Mereka mencurahkan segalanya dan selepas kekecewaan terkandas di suku akhir sebelum itu, mereka betul-betul mahu mara ke separuh akhir,” katanya.Maradona berharap atlet boling negara akan meneruskan prestasi baik mereka pada separuh akhir dan seterusnya memenangi emas di pusingan akhir, yang turut dijadualkan pada Isnin. - Bernama

Artikel Berkaitan: