Vaksin Sinovac Pharmaniaga tembusi pasaran Myanmar

Foto 123rf
Foto 123rf
A
A
A

PHARMANIAGA Bhd telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa dengan mengeksport kumpulan pertama vaksin Covid-19 'fill and finish' Sinovac ke Myanmar.

Dalam kenyataan pada Isnin, Pharmaniaga berkata vaksin tersebut dikeluarkan melalui kilang berteknologi tinggi yang diiktiraf oleh Kesatuan Eropah (EU) milik anak syarikat milik penuhnya, Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS).

“Di Myanmar, vaksin Covid-19 Sinovac itu akan dipasarkan oleh Hemas Mandalar Pharmaceuticals Ltd, sebuah syarikat farmaseutikal di Myanmar yang telah membuat pesanan awal sebanyak 200,000 dos vaksin 'fill and finish' Covid-19 Sinovac daripada Pharmaniaga.

“Baru-baru ini, kedua-dua syarikat telah menandatangani Memorandum Kolaborasi (MOC) untuk Pharmaniaga membekalkan vaksin Covid-19 Sinovac kepada dua buah hospital swasta milik Hemas Mandalar di Yangon. Penghantaran dilakukan setelah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan Myanmar,” katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata kerjasama dengan Hemas Mandalar ini akan membantu mempercepatkan program vaksinasi pasaran swasta di Myanmar.

"Penghantaran kumpulan pertama vaksin Covid-19 'fill and finish' Sinovac kepada Hemas Mandalar ini adalah suatu kejayaan yang besar kepada Pharmaniaga. Pesanan 200,000 dos vaksin akan dihantar ke Myanmar secara berperingkat mulai 13 November lalu.

“Peluang untuk bekerjasama dengan salah satu syarikat farmaseutikal terkemuka di Myanmar ini diharapkan dapat mengukuhkan lagi hubungan perniagaan yang baharu sahaja terjalin dan ia dijangka akan membuka lebih banyak lagi peluang perniagaan baharu di negara itu,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!