'BN gagal atasi pencemaran air sungai'- Mohd Rafee

Mohd Rafee (kanan) ketika melawat Sungai Punggur, Paya Redan di Ayer Molek, Melaka.
Mohd Rafee (kanan) ketika melawat Sungai Punggur, Paya Redan di Ayer Molek, Melaka.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mentadbir Melaka sebelum ini gagal mengatasi isu pencemaran air dan bau di Sungai Punggur, Paya Redan.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Mohd Rafee Ibrahim berkata, pencemaran sungai tersebut didakwa berpunca daripada pelepasan sisa kumbahan ladang ternakan lembu dan ayam di kawasan berhampiran.

Menurut beliau, aliran sungai terus ke muara Sungai Duyung melalui Kampung Paya Dalam, Bukit Nibong, Tambak Paya, Ayer Molek dan ke muara Sungai Duyung mengakibatkan penduduk di kawasan itu terjejas dengan bau busuk.

"Pencemaran ini menyebabkan kehidupan seharian penduduk setempat terganggu dengan bau busuk sejak sekian lama," katanya menerusi satu hantaran video di Facebook beliau pada Ahad.

Beliau berkata, sungai berkenaan penting kepada penduduk kampung dan kawasan sekitar.

Dalam pada itu, Mohd Rafee yakin sekiranya PH mengambil alih kerajaan Melaka, isu tersebut akan menjadi keutamaan mereka menyelesaikan keluhan yang tidak berkesudahan itu.

"Saya rasa penduduk pun dah hilang sabar, jadi perkara ini harus diperhatikan oleh semua terutama dalam kalangan wakil rakyat yang dipilih dan juga agensi terlibat dalam menguruskan kaedah kumbahan air dan penyelenggaraan sungai yang menyebabkan sering berlaku banjir di kawasan DUN ini.

"Semua pihak berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan mencari punca dan langkah penyelesaian terbaik mengatasi masalah yang telah lama berlarutan," kata beliau.

Artikel Berkaitan: