20,025 talian telefon promosi judi, pinjaman tak berlesen ditamatkan

Zahidi Zainul Abidin
Zahidi Zainul Abidin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 20,025 talian telefon ditamatkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atas kesalahan ‘spam SMS’ yang mempromosikan judi dalam talian, pinjaman tidak berlesen dan lain-lain sejak 2018 sehingga 31 Oktober lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, langkah itu diambil sebagai usaha mengatasi isu berkenaan mesej 'spam' yang mempromosikan judi dalam talian.

“Pihak kementerian menerusi SKMM menjalankan audit pengesahan data pelanggan talian telefon prabayar bagi memastikan semua nombor yang aktif disahkan dengan sewajarnya. Ini penting bagi mengelakkan nombor-nombor berkenaan disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk tujuan jenayah termasuk penipuan dan mempromosi judi dalam talian,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) yang mahu tahu apakah usaha drastik yang dilaksanakan oleh kementerian bagi mengatasi isu mesej 'spam' mempromosikan perjudian secara dalam talian.

Katanya, tindakan pencegahan yang dijalankan oleh kementerian melalui SKMM adalah dengan melaksanakan tindakan sekatan akses ke atas laman sesawang judi dalam talian.

“Bermula pada 2018 sehingga 31 Oktober 2021, sejumlah 4,799 laman web judi dalam talian disekat berdasarkan permohonan rasmi pihak PDRM atas kesalahan di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 289).

“Usaha ini akan dijalankan secara berterusan dari semasa ke semasa berdasarkan permohonan daripada PDRM serta maklumat dan aduan yang diterima daripada masyarakat,” katanya.

Artikel Berkaitan: