Nafuzi akui berdepan tugas sukar di Shah Alam

Pemain TFC, Mohd Faisal Abdul Halim (dua, kiri) bersama rakan sepasukan meraikan kejayaan mereka selepas menjaringkan gol pertama buat pasukannya semasa menentang pasukan Sarawak United FC pada suku akhir pertama Piala Malaysia 2021 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi. Foto Bernama
Pemain TFC, Mohd Faisal Abdul Halim (dua, kiri) bersama rakan sepasukan meraikan kejayaan mereka selepas menjaringkan gol pertama buat pasukannya semasa menentang pasukan Sarawak United FC pada suku akhir pertama Piala Malaysia 2021 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi. Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengakui bakal berdepan tugas sukar apabila berdepan Sarawak United FC pada pusingan kedua suku akhir saingan Piala Malaysia di Shah Alam, Selangor Khamis ini.

Ia memandangkan Terengganu hanya mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Sarawak dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam Ahad.

Bagaimanapun beliau tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang berusaha 'menghidangkan' persembahan terbaik dan penuh dramatik buat 9,000 penonton yang hadir memberi sokongan kepada skuad Penyu itu.

"Saya sebenarnya sudah jangka situasi dan masalah apa yang akan kami hadapi apabila berdepan Sarawak tetapi tetap bersyukur kerana kami rain kemenangan.

"Keputusan itu pastinya bukan bekalan yang selesa, tetapi peluang masih ada dan kami akan cuba yang terbaik apabila beraksi di Shah Alam nanti," katanya selepas perlawanan menentang Sarawak United FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam Ahad.

Pada perlawanan itu, Terengganu berjaya mengatasi Sarawak 2-1 hasil jaringan penyerang kebangsaan, Faisal Abdul Halim pada minit ke-16 dan Mohd Faiz Nasir, minit ke-51.

Bagaimanapun kesilapan pertahanan Terengganu, Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni yang tertanduk bola ke gawang sendiri menghadiahkan gol tunggal buat skuad Kenyalang Emas.

Sementara itu, pengendali Sarawak E Elavarasan berkata, perlawanan itu akan menjadi panduan untuk beliau mengenal pasti kekuatan dan kelemahan Terengganu yang diakui memiliki banyak kelebihan berbanding pasukannya.

Artikel Berkaitan:

"Kami tak pernah berhadapan dengan pasukan Liga Super dan perlawanan ini akan jadi panduan untuk kami kenal pasti kelemahan dan kekuatan Terengganu.

"Semestinya kami akui Terengganu punya kelebihan di semua bahagian, tetapi kami akan cuba yang terbaik di pusingan kedua dan paling penting jaga supaya jangan bolos," katanya. - Bernama