X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 27 Januari 2022

Mekanisme halang lompat parti boleh dilaksana selepas PRN Melaka

Azalina. Gambar kecil: Tangkap layar ciapan Azalina di Twitter miliknya pada Ahad.
A
A

SHAH ALAM - Mekanisme pilihan raya semula yang bertujuan untuk menangani tindakan lompat parti boleh dilaksanakan di Melaka meskipun selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pengundi di Melaka perlu menyokong parti politik yang menunjukkan komitmen untuk membentangkan Rang Undang-Undang Hibrid.

Beliau berkata, RUU Hibrid itu meliputi dua matlamat utama iaitu memecat wakil rakyat yang lompat parti dan pelaksanaan mekanisme pilihan raya semula yang membolehkan pengundi memecat ahli Parlimen melalui petisyen yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“RUU itu memerlukan pindaan dalam Perlembagaan Negeri dan ini hanya akan berlaku jika pihak yang menyokong RUU hibrid memenangi majoriti dua pertiga kerusi di antara mereka.

“Pihak yang bertanding boleh berjanji untuk menggubal RUU Hibrid ini dalam manifesto mereka dan tidak menerima ‘katak’ (wakil rakyat lompat parti)

“Begitu juga, calon yang bertanding boleh membuat 'ikrar anti lompat', berjanji tidak akan melompat selepas pilihan raya,” katanya menerusi poster yang dikongsikan menerusi ciapan di Twitter miliknya pada Ahad.

Azalina yang merupakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, beliau akan mengemukakan RUU Hibirid kepada Parlimen pada Isnin ini.

Penasihat Khas Undang-undang dan Hak Asasi Manusia kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu juga berkata, RUU Hibrid berkenaan tidak akan memberikan kesan kepada kedudukan wakil rakyat yang melompat parti sekiranya pengundi di kawasan itu didapati bersetuju dengan langkah ahli Parlimen tersebut melalui petisyen dijalankan.

Pada 2 November lalu, Azalina mencadangkan RUU Regulasi Lompat Parti dan Akauntabiliti Politik atau dikenali sebagai RUU Hibrid dilaksanakan di Melaka.

Pada masa sama, beliau pada 1 September lalu mengemukakan satu usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun bertajuk RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!