Masalah generasi ketiga Felda antara tumpuan Ah Sam

Hee Sem. - Foto MCA.org
Hee Sem. - Foto MCA.org
A
A
A

ALOR GAJAH - Permintaan tanah lot bagi pembinaan rumah untuk generasi ketiga akan menjadi antara fokus calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Setiausaha Organisasi MCA Melaka itu berkata, ketika ini terdapat banyak permohonan dalam golongan tersebut untuk membina dan memiliki rumah sendiri terutama selepas mereka berkahwin.

“Ketika ini, generasi ketiga Felda kebanyakannya masih ada yang tinggal bersama keluarga mereka daripada generasi kedua, malah ada juga yang masih tinggal sebumbung dengan generasi pertama.

“Justeru, menyelesaikan masalah lot rumah bagi generasi berkenaan akan menjadi salah satu fokus saya jika diberi mandat oleh rakyat pada PRN ini, selain perancangan untuk membina rumah kos rendah dan sederhana kepada penduduk di kawasan ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Mesra disapa Ah Sam, 53, bapa kepada dua anak berusia 18 dan 24 tahun itu berkata, beliau juga akan berusaha mewujudkan industri kecil dan sederhana (IKS) di setiap kampung dalam DUN berkenaan, kerana ia mempunyai potensi yang besar dalam membangunkan Machap Jaya, 17 kilometer (km) dari bandar Alor Gajah.

Beliau berkata, Machap Jaya tidak sesuai untuk dijadikan kawasan industri berat, memandangkan tempat itu merupakan antara kawasan tadahan hujan di Melaka, namun kegiatan ekonomi berasaskan ekopelancongan berpotensi besar untuk dibangunkan.

“Kalau kita lihat, di Hutan Percha terdapat satu kedai makan menjual ayam percik yang sangat digemari Perdana Menteri, selain Kilang Biskut Tingkat Simpang Koh yang popular dalam masyarakat setempat.

“Machap Jaya juga mempunyai tujuh kampung orang asli dan jika penduduk orang asli dibantu untuk menghasilkan kraftangan, saya lihat ia boleh menjadi pemangkin kepada industri IKS di kawasan ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Perkampungan orang asli di DUN Machap Jaya adalah Kampung Bukit Putus, Kampung Machap Umboo, Kampung Machap Umboo Dalam, Kampung Tebong Stesen, Kampung Kubang Badak, Kampung Air Dusun dan Kampung Hutan Percha.

Bagi memenuhi keperluan umat Islam di Machap Jaya juga, Hee Sem berkata, beliau akan berusaha memohon bantuan daripada kerajaan negeri mahupun Persekutuan, untuk membina sebuah masjid baharu di kawasan tersebut.

Katanya, terdapat tujuh masjid di kawasan itu, namun tidak mampu menampung jumlah orang Islam terutama untuk menunaikan solat Jumaat serta solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha.

“Saya juga akan berusaha untuk membina sebuah pasar awam di Kampung Baru Machap Baru yang majoriti penduduknya adalah masyarakat Cina. Ini kampung terbesar bagi kaum Tionghua di negeri ini.

Tertarik dengan idea tuisyen percuma secara dalam talian diketengahkan Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Alor Gajah ketika beberapa sekatan pergerakan dikenakan bermula tahun lepas, Hee Sem berkata, beliau akan meneruskan agenda berkenaan bagi membantu golongan pelajar di kawasan berkenaan.

“Melalui cara ini, pelajar tidak perlu keluar rumah yang boleh menyebabkan mereka terdedah kepada Covid-19, dan ia hanya memerlukan beberapa guru sahaja untuk mengajar secara dalam talian.

“Kebaikan program ini adalah kita hanya bayar kepada guru untuk mengajar, namun jumlah murid tidak dibataskan.

Kalau dulu ibu bapa kena hantar ke pusat tuisyen dan kena bayar guru namun melalui program ini adalah percuma. Ia sekali gus dapat membantu golongan kurang mampu,” katanya.

DUN Machap Jaya mempunyai kira-kira 22,000 penduduk dengan 12,487 daripada adalah pengundi berdaftar.

Terdapat enam Sekolah Kebangsaan (SK), dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), tiga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan tujuh Sekolah Rendah Agama (SRA), tujuh masjid, 11 surau, enam kuil, empat tokong dan sebuah gereja.

Hee Sem merupakan antara tujuh calon yang dikemukakan MCA pada PRN kali ini, dan beliau akan berentap dalam saingan lima penjuru dengan Law Bing Haw (Pakatan Harapan), Azlan Daud (Bebas), Tai Siong Jiul (Perikatan Nasional) dan Abdul Aziz Osani Kasim (Iman).

Kerusi DUN Machap Jaya sebelum ini disandang Datuk Ginie Lim Siew Lin dari Pakatan Harapan, selepas menang dengan majoriti 1,336 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November, berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri. - Bernama