PH takut kerjasama Pas-UMNO: Iskandar

Iskandar (tiga, kanan) ketika hadir pada seminar DHPP hari ini.
Iskandar (tiga, kanan) ketika hadir pada seminar DHPP hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abd Samad menyifatkan tuduhan pemimpin PH yang mengaitkan kerjasama Pas dan UMNO sebagai perang kepada bukan Islam disebabkan perasaan takut dengan gabungan parti-parti pembangkang ketika ini.

Menurut beliau lagi, Pas secara dasarnya telah membina hubungan baik dengan masyarakat bukan Islam dan perkara itu dapat dilihat dengan kewujudan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang disertai kaum Cina dan India.

"Bagaimana kita (Pas) hendak isytihar perang kepada bukan Islam sedangkan kita bersama-sama mereka.

"Tuduhan tidak benar ini (isytihar perang kepada bukan Islam) mungkin hasil rasa ketakutan mereka terhadap kerjasama (Pas dan UMNO) hingga mengeluarkan bermacam-macam kenyataan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kenyataan Guan Eng, Kor Ming ancam perpaduan negara'

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Perpaduan Nasional 'Mencari Formula Kepada Hubungan Antara Kaum Yang Lebih Harmoni' di sini, hari ini.

Jelas Iskandar lagi, Pas juga konsisten untuk memperkukuhkan hubungan dengan masyarakat bukan Islam dan seminar yang julung kali diadakan itu merupakan landasan terbaik.

"Kita adakan seminar dengan DHPP ini bukan sahaja untuk memberi manfaat kepada ahli DHPP dan Pas sahaja tetapi dapat dimanfaatkan seluruh Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Seminar ini juga diharap dapat membuka mata bahawa Pas juga prihatin dengan masyarakat bukan Islam dan sememangnya memerlukan sokongan mereka,"katanya.

Tambahnya lagi, hubungan antara kaum yang dibina oleh Pas bukan semata-mata untuk meraih undi politik sahaja, sebaliknya ingin mewujudkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

DHPP hari ini, tampil menganjurkan satu seminar untuk meningkatkan keharmonian di antara kaum di Malaysia.

Seminar itu bertujuan untuk mengenalpasti formula bagi memastikan hubungan antara kaum di Malaysia dapat menjadi lebih harmoni, sekaligus menjawab segala tuduhan-tuduhan yg tidak berasas.

Ia susulan kenyataan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming yang mengatakan Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan yang dikuasai Taliban jika UMNO dan Pas berjaya membentuk kerajaan dan memerintah negara ini.