Nelayan sempat hubungi isteri sebelum bot karam

Maritim Malaysia mengaktifkan SAR bagi mengesan tiga nelayan hilang dalam kejadian bot karam di Pantai Remis. - Foto ihsan Maritim Malaysia.
Maritim Malaysia mengaktifkan SAR bagi mengesan tiga nelayan hilang dalam kejadian bot karam di Pantai Remis. - Foto ihsan Maritim Malaysia.
A
A
A

LUMUT - Tiga nelayan disyaki hilang dalam insiden bot karam sekitar Pulau Talang di perairan Pantai Remis di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, salah seorang mangsa sempat membuat panggilan telefon kepada isterinya yang memaklumkan keadaan bot yang dinaiki hampir karam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, tiga mangsa yang hilang itu merupakan warga tempatan berusia lingkungan 29 sehingga 70 tahun.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga nelayan diaktifkan selepas menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi.

"Bot Perkasa 1223 dan Kilat 11 telah diatur gerak serta merta ke lokasi berkenaan.

"Bot yang berpangkalan di jeti Pantai Remis itu masih gagal ditemui sehingga kini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Shahrizan berkata, Maritim Malaysia memperluaskan sektor pencarian sehingga 42.30 batu nautika persegi.

"Keadaan laut yang bergelora dengan ketinggian ombak 1 hingga 2.7 meter dan cuaca yang tidak menentu di lokasi kejadian menyukarkan operasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Maklumat yang sama juga turut disalurkan kepada Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut, Pasukan Polis Marin Kampung Acheh, dan ‘Maritime Component Operation Comander’ (MCOC)," katanya.

Jelas beliau, operasi itu akan diteruskan sehingga jam 7.30 malam dan akan bersambung esok bermula jam 7 pagi, sekiranya mangsa masih tidak ditemui.