MCMTC harap kerajaan ratifikasi CPTPP menjelang Disember 2021

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ratifikasi awal Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan membantu pengeksport Malaysia mendapatkan akses pasaran keutamaan dalam negara-negara CPTPP untuk kekal berdaya saing berbanding pesaing serantau.

Presiden Syarikat Pertengahan Konsortium Malaysia (MCMTC), Callum Chen berkata, dua pesaing serantau Malaysia iaitu Singapura dan Vietnam telah mendapat manfaat daripada keahlian CPTPP, mengguna pakai strategi mantap yang bertujuan mengukuhkan daya tahan dan kemampanan ekonomi mereka.

"CPTPP akan meningkatkan perdagangan luar dan memperkukuh pelaburan langsung asing (FDI) jangka sederhana hingga panjang di Malaysia dengan mengurangkan kos import dan eksport, mewujudkan medan perniagaan yang lebih seimbang untuk Malaysia di pasaran serantau dan meningkatkan akses pasaran antarabangsa bagi firma Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

CPTPP, perjanjian perdagangan yang menyatukan 11 negara di kedua-dua belah Pasifik; Kanada, Australia, Brunei, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam. Walaupun Malaysia menandatangani perjanjian itu pada 2018, kerajaan masih belum meratifikasi CPTPP.

MCMTC berkata, pihaknya berharap CPTPP akan diratifikasi oleh kerajaan menjelang Disember 2021 kerana ia adalah antara pilihan terbaik untuk menjaga kedudukan ekonominya dan pulih daripada pandemik Covid-19.

"Mendapatkan akses baharu atau akses diperluas ke pasaran eksport utama dan menarik lebih banyak pelaburan bermakna lebih banyak peluang bagi perniagaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan dengan gaji yang lebih baik untuk rakyat Malaysia," tambahnya.

MCMTC ialah persatuan yang ditubuhkan oleh ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengarah urusan syarikat pertengahan (MTC) di Malaysia dengan perolehan tahunan RM50 juta hingga RM500 juta untuk pembuatan dan RM20 juta - RM500 juta untuk perkhidmatan.

Terdapat kira-kira 15,000 MTC di Malaysia, mewakili 1.7 peratus daripada jumlah pertubuhan perniagaan, tetapi menyumbang 39.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menggaji 16 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja. - Bernama

Artikel Berkaitan: