Langkah alternatif hotel tempatan

Isu kekurangan pekerja di hotel hanya berlaku semasa peningkatan permintaan secara mendadak terutamanya cuti dan hujung minggu. Gambar kecil: Yap Li Seng.
Isu kekurangan pekerja di hotel hanya berlaku semasa peningkatan permintaan secara mendadak terutamanya cuti dan hujung minggu. Gambar kecil: Yap Li Seng.
A
A
A

SHAH ALAM - Hotel tempatan mengambil langkah sementara dengan meningkatkan pengambilan pekerja sambilan dan kontrak bagi menangani isu kekurangan pekerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Li Seng berkata, ia kerana kekurangan pekerja hanya berlaku semasa peningkatan permintaan secara mendadak terutamanya cuti dan hujung minggu.

“Hotel juga sedang membuat persediaan awal untuk tempoh peak period akan datang dan telah pun meningkatkan kadar pekerja sambilan secara kontrak,” katanya kepada Sinar Ahad pada Khamis.

Menurutnya, antara langkah lain yang diambil untuk menangani isu tersebut ialah pihak hotel juga mengawal jualan bilik mengikut kemampuan pekerja.

“Selain itu, pekerja hotel di bahagian lain juga akan tetap membantu dalam operasi harian.

“Ia termasuk di bahagian kewangan, pentadbiran, sumber manusia, eksekutif, pengurus dan Pengurus Besar) yang turut membantu mengemas bilik,” katanya.

Li Seng berkata, mengikut kaji selidik MAH, pasaran industri hotel Malaysia merangkumi 55 peratus domestik dan 45 peratus antarabangsa.

Katanya, walaupun pelancongan domestik dihidupkan semula, namun ia tidak mencukupi bagi menjamin kelangsungan industri.

Artikel Berkaitan:

“Pada masa ini, tahap paling tinggi hanya mencapai purata penginapan antara 40 peratus dengan pengurangan harga bilik yang tinggi.

“Industri memerlukan pembukaan semula pelancongan antarabangsa, sekurang-kurangnya 50 peratus berbanding sebelum era Covid-19. Malaysia menerima antara 26 juta pelancong antarabangsa setahun sebelum Covid-19,” katanya.

Katanya, peningkatan industri perhotelan bergantung kepada pembukaan secara berperingkat dan dianggarkan mengambil masa sekurang-kurangnya satu hingga dua tahun.

“Pada tahun 2022, Malaysia dijangka masih bergantung kepada pelancongan domestik dengan pembukaan antarabangsa untuk negara terpilih sahaja,” katanya.

Li Seng berkata, industri perhotelan di Malaysia menerima peningkatan sehingga 40 peratus sejak pergerakan rentas negeri dibenarkan bermula 11 Oktober lalu yang menyebabkan berlakunya isu kekurangan pekerja di beberapa negeri.

Jelasnya, peningkatan tersebut dialami ketika Covid-19 melanda negara walaupun majikan terpaksa memberhentikan pekerja.

Katanya, kekurangan pekerja perhotelan bukan isu baharu kerana ia berlaku sebelum pandemik terutama untuk jawatan junior seperti pelayan restoran, pembersih bilik dan dapur.

“Dengan pembukaan semula pelancongan domestik dan setelah hotel mengalami kerugian semasa larangan pergerakan, selama tempoh itu mereka terpaksa memberhentikan pekerja untuk mengawal kos operasi supaya dapat terus bertahan sekali gus menyebabkan kekurangan pekerja.

“Namun, pekerja yang diberhentikan tidak pula berminat untuk berkhidmat di sektor perhotelan dan majoritinya mendapat pekerjaan lain.

“Ada juga kalangan bekas pekerja hotel itu memulakan perniagaan sendiri termasuk bekerja dalam ekonomi gig seperti Grab dan Foodpanda,” katanya.