Cadang bergabung di empat negeri

No Image Caption
A
A
A

JASIN - Kerjasama UMNO dan Pas diperkukuhkan lagi dengan cadangan mewujudkan kerajaan campuran di empat negeri yang ditadbir kedua-dua parti itu atas nama Kerajaan Penyatuan Ummah.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, cadangan tersebut sudah dikemukakan kepada Pas dalam satu pertemuan baru-baru dan masih di peringkat cadangan sebelum perbincangan lanjut dibuat.

Jelas beliau, UMNO telah membentuk jawatankuasa kerja yang dipengerusikan Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang akan bertindak sebagai penyelaras bersama jawatankuasa yang dibentuk Pas itu nanti.

“Saya sudah bincang dengan Pas dan akan mulakan kerjasama kedua-dua parti ini dengan mewujudkan kerajaan campuran dikenali sebagai Kerajaan Penyatuan Ummah bermula di Terengganu diikuti Pahang, Kelantan dan Perlis.

“Sementara di Perak dan Kedah yang mempunyai perbezaan kecil kerusi antara Pas, BN dan PH juga sedang diteliti, sama ada untuk bersama atau tidak,” katanya pada majlis perjumpaan bersama kepemimpinan UMNO Melaka di Kampung Parit Penghulu, Sungai Rambai, di sini, hari ini.

Sementara itu, selepas program berkenaan, Mohamad menghadiri program Sehari Bersama UMNO Ledang di Kompleks Sukan Tok Laji Kesang Tasek, Sungai Mati, Tangkak, Johor.

Di TANGKAK, Mohamad berkata, UMNO tidak menolak keperluan untuk bekerjasama dengan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dalam menjayakan kerajaan campuran itu.

Bagaimanapun, katanya, jalinan itu tidak akan membabitkan BN kerana ia lebih berbentuk kerjasama menyatukan ummah di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Lebih ramai lebih elok terutama NGO-NGO Melayu yang masuk kerana kita nak buat penyatuan ummah.

“Kita tak masuk dalam BN tetapi macam kita dengan Pas. Semua kita jemput,” katanya ketika berucap.