Pembekal ayam segar terpaksa tutup cawangan kerana kurang bekalan

(Dari kiri) Mohamad Kahysul Azim, Muhammad Shukri, Megat Khairy, Muhammad Arif
(Dari kiri) Mohamad Kahysul Azim, Muhammad Shukri, Megat Khairy, Muhammad Arif
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pembekal ayam segar di negeri ini mengakui berdepan dengan masalah kekurangan bekalan sejak empat bulan lalu sehingga menyebabkan ada dalam kalangan mereka terpaksa menutup operasi di beberapa cawangan.

Pembekal ayam segar, Mohamad Kahysul Azim Mohd Sulaimi, 28, berkata, masalah kekurangan bekalan ayam segar ini menyebabkan dia terpaksa menutup lima daripada tujuh kedai miliknya di daerah ini dan Kuala Nerus.

Menurutnya, pada Sabtu dia hanya menerima bekalan 1,000 ekor ayam berbanding 3,000 ekor sehari sebelum ini.

"Jadi dengan situasi ini, saya berdepan kesukaran untuk memenuhi permintaan pelanggan tetap. Hari ini saya tak dapat penuhi semua permintaan mereka kerana terpaksa agih-agihkan bagi memastikan semua pelanggan tetap terima pesanan masing-masing.

"Bekalan yang diterima hari ini memang terhad dan saya hanya jual kepada pelanggan tetap yang membeli dengan harga borong dan disebabkan itulah kami tidak berpeluang menjual kepada pembeli harian yang membeli dengan harga runcit," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Seorang lagi pembekal ayam segar, Muhammad Arif Ngah, 30, berkata, pihaknya turut berdepan dengan masalah kehabisan bekalan di pasaran selepas isu harga bekalan makanan ayam naik mendadak.

"Jadi, sebagai pembekal, saya kena mengambil jalan yang terbaik untuk menjaga pelanggan tetap bagi memastikan mereka mendapat bekalan harian dan disebabkan itu kebanyakan daripada kami tidak menawarkan jualan secara runcit kepada pelanggan.

"Jika sebelum ini, saya biasa terima bekalan 2,500 ekor ayam sehari tetapi sekarang saya hanya terima 2,000 ekor bekalan sehari," katanya yang turut mengakui situasi bekalan ayam segar pada Sabtu antara yang paling teruk berbanding sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, seorang peniaga ayam segar di Pasar Tani Kuala Besut, Muhammad Shukri Abdul Rahman, 23, berkata, selaku peniaga kecil bahan mentah itu, masalah kekurangan bekalan sememangnya memberi kesan kepadanya sekali gus turut menjejaskan sumber pendapatan hariannya.

"Biasanya saya terima bekalan 150 ekor ayam sehari tetapi sejak kebelakangan ini saya hanya dapat 50 ekor ayam sahaja, itu pun saya baru dapat sejak dua, tiga hari kebelakangan ini.

"Jadi dengan kekurangan jumlah bekalan ini sekali gus menjejaskan jualan harian saya, malah saya terpaksa tutup kedai beberapa hari kerana tiada bekalan," ujarnya.

Sementara itu, seorang tukang masak di sebuah restoran, Megat Khairy Md Yusof, 37, mengakui dengan masalah kekurangan bekalan bahan mentah ini bukan sahaja memberi kesan kepada peniaga atau pun pembekal bahan mentah ini, malah turut memberi kesan kepada pekerja dipremis penyediaan makanan yang boleh dikatakan hampir setiap hari memerlukan bahan mentah berkenaan.

"Sebagai contohnya saya sendiri yang boleh dikatakan hampir setiap hari memerlukan ayam untuk dimasak, jadi saya boleh katakan ada sahaja bahan mentah yang akan naik harga dalam tempoh sebulan.

"Jika sebelum ini masalah sayur naik harga tetapi kini masalah bekalan ayam pula," jelasnya.

Sementara itu, melalui tinjauan Sinar Harian pada Sabtu di pasar besar dan pasar tani di beberapa daerah di negeri ini mendapati harga ayam melambung tinggi sehingga mencecah RM11.80 sekilogram di mana kebiasaannya harga tersebut dijual pada musim perayaan sahaja.