Graduan Kolej Komuniti disaran ceburi keusahawanan

Saarani.- Foto fail Bernama
Saarani.- Foto fail Bernama
A
A
A

IPOH - Para graduan Kolej Komuniti disaran supaya berkhidmat kepada masyarakat di luar bandar dan menceburkan diri dalam bidang keusahawanan bagi menghadapi dunia yang berada di ambang Revolusi Industri 4.0.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, revolusi itu adalah industri inovasi dan penyesuaian masyarakat terhadap teknologi baharu kerana kehidupan masa ini dan akan datang bakal dipacu oleh teknologi robotik dan kecerdasan buatan (AI).

"Oleh yang demikian, semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini termasuklah Kolej Komuniti haruslah sama-sama mengambil peluang untuk menambah baik serta memberi nilai tambah dalam setiap kursus yang ditawarkan kepada pelajar bagi memenuhi kehendak pasaran yang dijangka bermula pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam rakaman ucapan perasmian pada Majlis Konvokesyen Virtual Kolej Komuniti Negeri Perak Tahun 2021 di sini pada Sabtu.

Saarani berkata, pengukuhan program akademik Pemerkasaan Sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) adalah langkah yang dilihat amat wajar kerana akan membantu negara dalam membentuk modal insan ke arah pembentukan teknologi baharu agar para graduan mampu menangani cabaran Revolusi Industri 4.0 pada masa akan datang.

Justeru, katanya, para graduan diharapkan tidak hanya memfokuskan pencarian peluang kerja di bandar-bandar besar semata-mata berikutan pendapat dan idea-idea baharu daripada generasi muda dalam peningkatan kualiti negara dalam tempoh 30 tahun akan datang adalah amat penting dalam mencorakkan kemajuan negara.

"Idea-idea baharu anak muda inilah yang bakal menjadi tonggak bagi meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat kelak.

"Saya yakin dan percaya bahawa graduan sekalian telah diterapkan dengan ilmu pengetahuan, kemahiran kepimpinan, komunikasi dan pengurusan yang diperlukan bagi membangunkan modal insan masyarakat dan komuniti setempat," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: