St John sedia 12 bakul makanan bantu mangsa kebakaran

Pihak St John diketuai Wan Abdul Rahman (kanan) menyampaikan sumbangan kepada mereka yang terkesan dalam kebakaran berkenaan.
Pihak St John diketuai Wan Abdul Rahman (kanan) menyampaikan sumbangan kepada mereka yang terkesan dalam kebakaran berkenaan.
A
A
A

KOTA BHARU – Sebanyak 12 bakul makanan dan sumbangan kewangan disediakan pasukan kecemasan St John Kawasan Kelantan Selatan kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kebakaran di Jalan Sultanah Zainab pada malam Selasa lalu.

Pemerintah St John Kawasan Kelantan Selatan, Wan Abdul Rahman Wan Yusoff berkata, pihaknya sentiasa melakukan aktiviti kebajikan dengan membantu mereka yang memerlukan terutamanya melibatkan kebakaran.

“Kita memang selalu berikan bantuan kebajikan seperti ini melibatkan mangsa kebakaran, mangsa Covid-19, golongan asnaf dan mereka yang memerlukan.

“Ia bergantung juga kepada sumber dana yang kami ada. Sehingga kini, untuk kawasan Selatan Kelantan, 600 keluarga telah dibantu mengikut kategori yang kita pilih,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau sebelum itu menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Jalan Sultanah Zainab yang kini menumpang di Masjid Pakistan berdepan dengan lokasi kebakaran berkenaan.

Bakul makanan yang disediakan melibatkan barangan keperluan asas seperti beras, sardin dan sebagainya.

Mengulas lanjut, Wan Abdul Rahman memberitahu, lebih 1,500 keluarga di bantu tahun ini melibatkan jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Machang, Kuala Krai dan juga Gua Musang.

Beliau berkata, bagi kawasan Gua Musang, pihaknya turut dibantu pasukan yang diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas yang juga Yang Dipertua St John Kawasan Kelantan Selatan, Mohd Syahbuddin Hashim.

Artikel Berkaitan:

“Pasukan beliau akan membantu kami untuk mengagihkan bantuan di kawasan Gua Musang dan mereka banyak membantu memudahkan urusan kami. Apa yang penting, bantuan berkenaan sampai kepada sasaran,” katanya.