'Jangan berpecah, kembali bersama PSM'

Mohd Yusoff
Mohd Yusoff
A
A
A

PENGASAS Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Tan Sri Mohd Yusoff Latiff berharap agar tiga ahli gabungan yang kekal dengan pendirian untuk 'bercerai' dengan PSM agar kembali bersama badan induk sukan sepak takraw negara itu demi pembangunan sukan tradisi itu.

Menurut Mohd Yusoff, dengan perlembagaan persatuan yang sudah digubal baru-baru ini, beliau berpandangan satu transformasi baharu dalam arena sepak takraw yang kan menyelesaikan kemelut yang melanda persatuan sebelum ini.

“Saya berharap baki empat ahli gabungan itu masuk semula bersama PSM kerana persatuan sudah menggubal undang-undang di mana tiada lagi kuasa autonomi diberikan kepada mana-mana pihak.

“Malah saya difahamkan oleh Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader beri jaminan PSM akan diterima kembali oleh badan induk Asia itu.

“Nasihat saya tak usahlah tubuh pasukan lain nanti kita berpecah belah, kalau berpecah belah rosak pula nanti. Sepak takraw perlu dijaga kerana ini satu-satunya permainan yang dicipta dan diusahakan oleh orang Melayu,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar pada Jumaat.

Tiga ahli gabungan yang diketepikan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) selain Perlis yang masih digantung badan induk itu sebelum ini tetap dengan keputusan mereka untuk menubuhkan entiti baharu sepak takraw negara.

Malah, ketiga-tiga ahli gabungan berkenaan iaitu Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Persatuan Sepaktakraw Negeri Sarawak (PSS) dan Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (PESTAP) dan Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs) sesekali tidak akan berganjak untuk menubuhkan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSAS), Datuk Markiman Kobiran berkata, tindakan itu dibuat dalam usaha menjaga kepentingan empat negeri berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Kami akan tetap teruskan hasrat menubuhkan persatuan baharu yang masa kami telah kemukakan permohonan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) 30 Oktober lalu selepas digantung PSM.

“Apabila PSM ketepikan empat negeri ini, ke mana kita nak bawa pemain-pemain? Kami tidak mahu pemain-pemain menjadi mangsa akibat daripada situasi yang berlaku sekarang.

“Jadi jalan terbaik... kami tetap dengan pendirian untuk menubuhkan persatuan baharu. Itu jalan terbaik bagi menyelamatkan bakat-bakat muda di peringkat akar umbi di Selangor, Sarawak, Perlis dan Putrajaya,” katanya.

Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd Yusof berkata, pihaknya akan meneliti permohonan penubuhan yang dicadangkan empat ahli gabungan tersebut.

Dalam pada itu Mohd Yusoff berkata, beliau berharap PJS tidak akan meluluskan permohonan untuk mewujudkan satu lagi badan induk bagi sukan warisan itu.

Jelas beliau, PJS perlu memainkan peranan menasihati mereka yang terlibat itu untuk kembali bersama PSM bagi memartabatkan kembali sukan warisan orang Melayu itu.

“Kalau kata mereka masih nak tubuh persatuan baharu PJS tidak patut menyokong atau meluluskan permohonan mereka sebab mereka ada kuasa. Tugas PJS kini perlu menasihati mereka untuk kembali bersama PSM,” ujarnya.