Manifesto PN tidak akan bohong rakyat Melaka, kata Muhyiddin

Muhyiddin (dua, kanan) ketika hadir pada program Pentas Pilihan Raya Negeri Melaka di sebuah hotel pada Khamis. - Foto Bernama
Muhyiddin (dua, kanan) ketika hadir pada program Pentas Pilihan Raya Negeri Melaka di sebuah hotel pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

JASIN - Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Ahad ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, manifesto itu akan dipantau oleh satu badan khas sekiranya PN mendapat mandat mentadbir negeri berkenaan.

"Lusa kita akan pamerkan manifesto kita yang sudah siap sebagai bukti kesungguhan kita.

"Kemungkinan besar kita akan menubuhkan satu badan pemantau yang akan meneliti apa yang kita senaraikan dalam manifesto berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di Kampung Air Pana di sini pada Jumaat.

Muhyiddin berkata, PN optimis dengan pendekatan itu mampu memberi keyakinan kepada rakyat Melaka terhadap kerajaan yang bakal dibentuk oleh PN.

"Kita bukan menjanjikan bulan dan matahari. Kita tidak boleh bohong rakyat Melaka. Jika kita janji sesuatu, kita kena tunaikan. Itu adalah tuntutan agama.

"Saya kira rakyat Melaka tentu rasa lebih yakin bahawa kerajaan yang akan dibentuk nanti adalah berupaya. Kita akan buktikan bersedia pikul amanah," katanya.

Pada Khamis, Muhyiddin mengumumkan kesemua 28 calon PN dalam PRN Melaka akan diwajibkan menandatangani surat akujanji menentang rasuah.

Artikel Berkaitan:

Ia bagi menunjukkan komitmen gabungan parti itu dalam perjuangan memerangi rasuah.