Tiga tokan ditahan bersama dadah bernilai RM11,509

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga lelaki yang disyaki pengedar ditahan bersama dadah bernilai RM11,509 dalam serbuan berasingan sekitar Jinjang di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, ketiga-tiga suspek berkenaan dipercayai ahli sindiket yang aktif mengedar dadah di sekitar Kuala Lumpur sejak Februari 2019.

Menurutnya, polis menahan dua suspek dipercayai rakan serumah dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Segambut, Jinjang di sini sekitar jam 7 malam.

"Suspek pertama seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun ditahan di hadapan rumahnya bersama dadah jenis methamphetamine seberat 53.21 gram.

"Suspek kedua yang berusia 44 tahun ditahan di dalam rumah tersebut bersama dadah jenis heroin seberat 15.97 gram dan kanabis 5.95 gram yang berada dalam pemilikan suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, dalam serbuan berasingan, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun kerana disyaki terlibat dengan sindiket berkenaan di Taman Wahyu, Jinjang di sini sekitar jam 6 petang pada Khamis.

"Pemeriksaan ke atas tubuh suspek menemui dadah jenis methamphetamine seberat 51.99 gram dan kanabis 2.68 gram dipercayai untuk dijual di kawasan tersebut," katanya.

Eng Lai berkata, secara keseluruhan pihaknya berjaya merampas dadah jenis methamphetamine seberat 105.2 gram, heroin (15.97 gram) dan kanabis (8.63 gram) yang boleh dijual kepada 260 orang penagih.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif beberapa jenis dadah termasuk methamphetamine, amphetamine, tetrahydrocannabinol (THC) dan morfin.

"Semakan rekod jenayah mendapati suspek pertama mempunyai 12 rekod lampau, selain suspek kedua (empat) dan suspek ketiga (sembilan).

"Ketiga-tiga suspek direman tujuh hari bermula Jumaat sehingga 18 November. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati," ujarnya.