X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Lapan individu diberkas terlibat kegiatan judi dalam talian, mahjong

PDRM
A
A

KUALA LUMPUR - Lapan individu diberkas kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian dan mahjong di sebuah premis di Manjalara Kepong di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 6.30 petang oleh sepasukan anggota daripada Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

"Seramai lapan individu tempatan diberkas dipercayai terlibat dalam perjudian ini. Antaranya ialah tiga lelaki dipercayai terlibat perjudian mahjung, empat lelaki dipercayai bermain judi dalam talian dan seorang lagi merupakan penganjur kegiatan perjudian mahjung dan perjudian dalam talian.

"Kesemua diberkas berumur lingkungan 25 tahun hingga 62 tahun," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kegiatan perjudian tersebut dipercayai telah beroperasi di sekitar kawasan Kepong sejak seminggu lalu.

"Siasatan awal mendapati kegiatan ini berselindung di sebalik premis perniagaan.

"Polis merampas pelbagai peralatan perjudian mahjung, komputer pelbagai jenama, modem komputer, buku catitan perniagaan dan wang tunai berjumlah RM4,636," katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," kata beliau.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!