Bilik Gerakan Telok Mas ditutup, 23 jalani saringan Covid-19

Notis penutupan bilik gerakan PN bagi DUN Telok Mas pada Jumaat.
Notis penutupan bilik gerakan PN bagi DUN Telok Mas pada Jumaat.
A
A
A
MELAKA - Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengesahkan Bilik Gerakan N23 Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas ditutup selama 14 hari.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman berkata, penutupan tersebut bermula Jumaat sehingga 26 November depan selepas terdapat pengesanan kes Covid-19 di premis terbabit.

Menurutnya, ujian saringan awal mendapati seorang terlibat didapati positif Covid-19.

"Seramai 23 individu lain menjalani saringan ujian pada hari ini (Jumaat) dan masih menunggu keputusan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan notis kompaun RM10,000 kerana didapati berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di premis terbabit.

Pada Jumaat, tular di media sosial berhubung notis penutupan bilik gerakan PN bagi DUN Telok Mas yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah.

Sementara itu, Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim turut mengesahkan mengenai penutupan bilik gerakan berkenaan.

"Jentera Pahang ada yang telah disahkan positif Covid-19.

"Mereka menggunakan Bilik Gerakan N23 Telok Mas sebagai penempatan bagi kerja Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka," katanya.
Artikel Berkaitan: