Peneroka maut terkena sabit

Lokasi kejadian peneroka maut terkena sabit.
Lokasi kejadian peneroka maut terkena sabit.
A
A
A

MARAN - Seorang peneroka dari Felda Jengka 4 di sini, maut selepas alami pendarahan teruk akibat terkena sabit ketika membuat kerja ladang di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, mangsa Abdul Razak Said, 47, ketika itu sedang bekerja ditemani anaknya, Muhammad Akif Abdul Razak, 15.

Menurutnya, berdasarkan keterangan kes, kejadian berlaku kira-kira jam 8.15 pagi tadi semasa Muhammad Akif berada di ladang Jengka 4 bersama mangsa di mana pisau sabit telah terjatuh dan terkena kaki sebelah kanan bahagian betis.

"Kejadian mengakibatkan mangsa alami pendarahan yang teruk dan tiba-tiba tidak sedarkan diri. Muhammad Akif terus keluar dari ladang menaiki motosikal untuk minta bantuan dari orang kampung yang terdekat.

"Beliau bersama beberapa orang kampung datang ke tempat kejadian dan membawa ayahnya ke Klinik Kesihatan Maran dengan menaiki kenderaan Pajero.

"Semasa pengadu berada di Klinik Kesihatan Maran telah dimaklumkan oleh doktor bahawa ayahnya telah meninggal dunia. Pengadu datang ke Balai Polis Maran untuk buat laporan," katanya kepada pemberita, hari ini.

Kesan darah mangsa di lokasi. Gambar kecil: Abdul Razak
Kesan darah mangsa di lokasi. Gambar kecil: Abdul Razak

Artikel Berkaitan:

Norzamri berkata, Ketua Polis Balai Sungai Jerik bersama anggota telah ke Klinik Kesihatan Maran untuk siasatan lanjut dan turut ke lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan awal terhadap Dr. Nurul Atika Ali memberitahu mangsa (simati) telah sampai di Wad Kecemasan Klinik Kesihatan Maran kira-kira jam 10.00 pagi dan mengesahkan mangsa telah pun meninggal dunia.

"Mangsa mengalami luka yang serius di bahagian sebelah kanan kaki dan banyak kehilangan darah. Mayat simati telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Jengka.

"Jenazah telah dituntut oleh waris simati untuk tujuan pengebumian di tanah perkuburan Pusara Damai Jengka," katanya.