X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 19 Januari 2022

Apa kaitan PSY dengan Jho Low dan Najib? Ini cerita Nazir...

Persembahan Gangnam Style oleh PSY (kiri) di Pulau Pinang pada 2013 merupakan antara langkah oleh Jho Low (kanan) untuk menarik sokongan rakyat di pulau itu terhadap Najib Razak dan Barisan Nasional. - Gambar fail Astro Awani
A
A

KUALA LUMPUR - “Are you ready for PSY?” “Yes!”

“Are you ready for PSY?” “Yes!”

“Are you ready for BN?” “No...”

“Are you ready for BN?” “No...”

Peristiwa itu terjadi sewaktu Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap di hadapan ribuan hadirin di padang Kolej Swasta Han Chiang, Pulau Pinang, sempena Sambutan Tahun Baharu Cina BN pada 2013.

Dalam memoir tulisannya What’s in a Name, adik Najib, Datuk Seri Nazir Tun Razak mendedahkan, persembahan ‘Gangnam Style’ oleh artis sensasi Korea Selatan, PSY, ketika itu merupakan antara langkah oleh Jho Low, untuk menarik sokongan rakyat di pulau itu.

“Anggapan Najib ketika itu bahawa Jho Low berguna dalam situasi politik di negara ini, bukan sahaja menghairankan, tetapi juga menunjukkan simptom bagaimana politik wang telah sampai ke tahap yang amat rendah,” kata bekas Pengerusi Kumpulan CIMB itu lagi.

Kami masih bertemu, saya masih sayangkan beliau - Nazir Razak

Selain tindakan publisiti membawa PSY, Nazir berkata, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pernah mendakwa, Jho Low secara terbuka berkempen di kawasannya di Air Putih, menawarkan sampul berisi wang terhadap pengundi untuk menyokong BN.

Malah, dakwa Guan Eng seperti dipetik dalam memoir itu, Jho Low secara terbuka berkata, lebih banyak wang akan diagihkan sekiranya BN berjaya memenangi piihan raya umum (PRU) yang berlangsung pada tahun itu.

Keputusan bagaimanapun menunjukkan BN, yang pertama kali diterajui Najib sebagai Pengerusi dan Perdana Menteri, memenangi PRU dengan majoriti yang tipis, iaitu 133 kerusi, berbanding Pakatan Rakyat (kini Pakatan Harapan), 89 kerusi.

Nazir berkata, respons awal Najib kepada media pada malam hari keputusan, ialah, penurunan sokongan ketara itu adalah kerana ‘Tsunami Cina’, biarpun belum ada post-mortem awal mengenai prestasi sebenar BN.

“Najib sepatutnya mengadakan post-mortem tentang keputusan pilihan raya itu, namun beliau terlebih dahulu menyalahkan pengundi Cina yang beliau anggap tidak berterima kasih dan enggan menyokongnya walaupun sudah banyak yang dilakukan untuk mereka.

“Dalam fikiran Najib, beliau adalah Perdana Menteri yang berani bercakap tentang keperluan pelan afirmatif yang baharu,” kata Nazir.

Dedahnya lagi, dalam satu post-mortem yang formal, seseorang telah membangkitkan bahawa 1MDB antara faktor kekalahan BN, akan tetapi Najib lebih percaya bahawa 1MDB tidak pernah dibincangkan di luar dunia korporat.

Itu, kata Nazir, barangkali tepat.

Namun beliau juga berpendapat 1MDB mempunyai kesan tidak langsung terhadap PRU, terutamanya dengan dakwaan Guan Eng terhadap amalan politik wang Jho Low, termasuk perbelanjaan membawa PSY ke negara ini, yang dilaporkan menelan jutaan ringgit. - Awani


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!