Geran pembangunan minyak, gas kini di landasan tepat: Mustapa

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Geran Pembangunan Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE DG) kini di landasan tepat untuk mencapai sasaran pengagihan tahunan berjumlah RM5 juta kepada syarikat-syarikat yang diluluskan serta layak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, setakat November 2021, pihak OGSE DG telah memilih 10 syarikat yang melibatkan pengagihan sebanyak RM2.2 juta.

"Ini merupakan satu perkembangan yang menggalakkan kerana kita yakin syarikat-syarikat yang menerimaguna inovasi dapat diurus dengan lebih baik selain berkembang dalam persekitaran tenaga yang kompetitif dengan landskap yang sentiasa berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bersempena mesyuarat pertama jawatankuasa pemandu Pelan Hala Tuju Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030 yang berlangsung pada Isnin.

OGSE DG telah dirangka dan dibangunkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) serta sejajar dengan Pelan Hala Tuju Industri OGSE Kebangsaan untuk memacu daya saing syarikat peringkat pertengahan (MTC) dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sektor itu menerusi usaha inovasi dan eksport.

Inisiatif OGSE DG berjumlah RM25 juta itu telah dilancarkan bersama dengan pelan berkenaan pada April, 2021.

Dalam pada itu, MPRC berkata jawatankuasa pemandu tersebut akan meneliti kemajuan pelaksanaan pelan hala tuju itu sejak lapan bulan lepas selain memberi pengesahan terhadap lima program oleh pemilik inisiatif terbabit iaitu MPRC, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

"Program yang disahkan itu termasuk wakil kerajaan bagi industri OGSE menerusi laman sesawang-portal iaitu inisiatif milik MPRC yang dilancarkan pada September.

Artikel Berkaitan:

"Inisiatif lain yang diluluskan oleh jawatankuasa itu termasuk usaha bagi memperincikan serta mengiktiraf syarikat-syarikat OGSE selain mewujudkan elemen asas untuk menjejaki perkembangan dan kemajuan sektor itu,” katanya.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MPRC Mohd Yazid Ja’afar berkata pihaknya bersama EPU akan terus berusaha bagi memberi impak bermanfaat kepada industri OGSE dalam membolehkan sektor itu mampu mencapai potensi penuh.

"Geran pembangunan itu akan membantu dari segi meningkatkan daya saing syarikat-syarikat OGSE dalam industri selain memacu inovasi serta ke arah pengkomersialan dan eksport,” katanya. - Bernama