JKM cari waris kanak-kanak ditinggal di pusat beli-belah

JKM Perlis sedang mengesan waris dan ibu kandung kepada seorang kanak-kanak lelaki kini berusia kira-kira empat tahun.
JKM Perlis sedang mengesan waris dan ibu kandung kepada seorang kanak-kanak lelaki kini berusia kira-kira empat tahun.
A
A
A

KANGAR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis sedang mengesan waris dan ibu kandung kepada seorang kanak-kanak lelaki kini berusia kira-kira empat tahun, yang ditinggalkan kepada seorang wanita di hadapan pusat beli-belah BJ Court Pulau Pinang, pada 2017.

JKM Perlis dalam kenyataan memaklumkan, seorang wanita telah meninggalkan kanak-kanak itu ketika dia berusia lingkungan dua hingga tiga bulan kepada seorang wanita lain bernama Hafiza Ezab pada 5 Julai 2017 di hadapan pusat beli-belah tersebut.

Menurut JKM Perlis, wanita berkenaan meminta Hafiza menjaga kanak-kanak itu sebentar sementara menunggu ibu kandungnya datang untuk mengambil anaknya, namun setelah beberapa ketika, tiada sesiapa yang datang menuntut kanak-kanak itu dan dia kini dijaga oleh ibu kepada Hafiza yang tinggal di Perlis sebagai anak angkat.

“Sehingga kini ibu kandung kanak-kanak itu terus menghilangkan diri dan gagal dikesan. Kanak-kanak itu juga tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,” menurut kenyataan itu di sini pada Khamis.

Jelas JKM Perlis, pencarian ibu kandung atau waris dibuat bagi membantu urusan penempatan dan penjagaan terbaik bagi kanak-kanak itu yang akan ditentukan oleh Mahkamah Kanak-Kanak.

“Ibu kandung atau waris kanak-kanak ini diminta tampil menghubungi Pelindung JKM Perlis, Isma Liza Mohd Isa dengan menelefon 04-9731926 atau 04-9731967 bagi membincangkan hal penjagaan kanak-kanak itu,” menurut JKM Perlis. - Bernama

Artikel Berkaitan: