PRN Melaka: Noh setuju SOP ditetapkan SPR

Noh Omar
Noh Omar
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar bersetuju dengan penetapan prosedur operasi standard (SOP) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurut Noh, penetapan SOP itu perlu dilaksanakan bagi menggelakkan berlakunya lonjakan kes Covid-19 walaupun kebanyakan rakyat sudah menerima vaksin.

Beliau berkata, selain memastikan proses PRN berjalan lancar, keselamatan dan nyawa rakyat juga perlu diutamakan susulan daripada pandemik Covid-19 di negara ini.

"Saya setuju dengan SOP dikeluarkan oleh SPR demi kepentingan rakyat. Bagi saya, SOP ini kena ada sebab kita tidak mahu pisang berbuah dua kali.

"Kalau tiada SOP tertentu, virus ini mungkin lagi cepat merebak kerana kita kena terima hakikat yang vaksin ini hanyalah untuk lindungi diri kita, namun kita masih lagi boleh jadi pembawa," katanya selepas Majlis Perasmian Program Prestij Pembelajaran Negeri Selangor 2021 yang berlangsung di Hotel Mardhiyyah, Seksyen 14 di sini pada Khamis.

Noh berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian beliau berhubung penetapan SOP oleh SPR dalam PRN Melaka yang telah mendapat rungutan beberapa pemimpin parti politik.

Barisan Nasional (BN) pada Rabu telah menggesa SPR mengkaji semula pelaksanaan SOP PRN Melaka yang didakwa amat ketat.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penilaian semula wajar dibuat segera selepas pelbagai rungutan diterima daripada petugas dan jentera parti yang tidak dapat melaksanakan tugas berkempen dengan sempurna.

Artikel Berkaitan:

Selain BN, beberapa ahli Parlimen pembangkang turut mempersoalkan pelaksanaan SOP itu yang disifatkan sebagai ‘double standard’ atau berat sebelah.