Triatlon uji pengetahuan perihal sukan dalam, luar negara

Dari kiri, Pengarah Pembangunan Pelajar, Dr Shahsuzan Zakaria danProfesor Dr Mohd Sazili bersama trofi juara keseluruhan UiSAT serta Timbalan Pengarah Pusat Sukan, Ahmad Tarmizy Mohammed selepas pelancaran program tersebut di UiTM Shah Alam, pada Khamis.
Dari kiri, Pengarah Pembangunan Pelajar, Dr Shahsuzan Zakaria danProfesor Dr Mohd Sazili bersama trofi juara keseluruhan UiSAT serta Timbalan Pengarah Pusat Sukan, Ahmad Tarmizy Mohammed selepas pelancaran program tersebut di UiTM Shah Alam, pada Khamis.
A
A
A

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) terus aktif melahirkan dalam kalangan penuntut yang unggul dan dinamik dalam pelbagai perkara.

Terbaharu, universiti itu menerusi Pusat Sukan tampil dengan Triatlon sukan akademik UiTM 2021 (UiSAT) yang bermula dari 11 hingga 12 November ini.

Timbalan Naib Canselor HEP UiTM, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi berkata, UiSAT bukan sahaja untuk mencari pemenang tetapi dalam masa sama memberi peserta ilmu dan fakta mengenai dunia sukan.

"Triatlon sukan akademik UiTM 2021 (UiSAT) merupakan satu lagi jenama baharu UiTM dalam usaha universiti mencipta legasi melahirkan penuntut yang akan menjadi pakar rujuk fakta mengenai sukan.

"Kita lihat statistik penyertaan atlet dalam kejohanan ini adalah dari latarbelakang jurusan yang berbeza-beza dan ini membuktikan bahawa mereka yang suka membaca mengenai dunia sukan ini adalah bukan dari atlet yang bermain dalam sukan itu sendiri.

"Budaya membaca ditingkatkan dalam usaha semua kampus UiTM mencari peserta untuk mewakil kampus dalam kejohanan yang diadakan selama dua hari ini," katanya.

Jelas Profesor Dr Mohd Sazili, untuk edisi sulung tahun ini, tema diberikan kepada semua atlet adalah mengenai dunia bola sepak Euro 2000-2020, tenis Wimbeldon serta senario bola sepak Malaysia dan wanita dalam sukan.

"Adalah diharapkan penganjuran kejohanan berkonsepkan intelectual games ini akan kita bawakan ke satu peringkat yang lebih tinggi di mana UiTM dijangka akan menganjurkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan memberi ruang dan peluang kepada pelbagai pihak untuk turut serta dalam kejohanan ini pada masa depan InsyaALLAH."

UiSAT akan melibatkan tiga jenis segmen iaitu objektif, kuiz dan pidato.

Bagi segmen objektif, semua peserta akan menjawab soalan secara individu seperti format peperiksaan manakala segmen kuiz pula, peserta akan menjawab secara berpasukan di mana hos akan bertanyakan soalan secara langsung kepada dua pasukan yang bertanding dalam setiap perlawanan.

Sementara segmen pidato, semua tajuk telah diberi bertemakan senario bola sepak Malaysia dan sukan dalam wanita dan peserta akan memberi hujah-hujah kepada tiga panel yang dibawa khas dari media sukan tanahair.

Untuk rekod, UiSAT berlangsung akan ditayangkan secara langsung melalui YouTube UiTM Sports Channel.