Serba Dinamik fail saman pemula terhadap EY Consulting

Serba Dinamik Holdings Bhd
Serba Dinamik Holdings Bhd
A
A
A

KUALA LUMPUR - Serba Dinamik Holdings Bhd (SDHB) telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi terhadap firma audit, Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (EY Consulting).

Penyedia perkhidmatan minyak dan gas bersepadu itu memfailkan saman pemula terhadap firma audit tersebut pada 5 November.

SDHB memohon relief dan deklarasi bahawa EY Consulting bukan ‘juruaudit’ dalam definisi Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR) serta deklarasi EY Consulting telah mengelirukan SDHB bahawa mereka boleh dilantik mengikut perenggan 2.23 dan 2.24 MMLR.

Ia juga memohon deklarasi bahawa pelantikan EY Consulting dan surat penglibatan yang dilaksanakan antara EY Consulting dan SDHB bertarikh 2 Julai 2021 adalah tak sah ab initio.

SDHB mendakwa pelantikan EY Consulting tidak sesuai kerana sekutu EY Consulting adalah juruaudit Bursa Securities Malaysia Bhd dan oleh itu tidak mempunyai kebebasan.

Syarikat itu mendakwa EY Consulting telah bertindak bertentangan dengan aku janjinya dalam surat penglibatan apabila ia menyediakan ‘Kemas Kini Penemuan Fakta’ kepada Suruhanjaya Sekuriti tanpa mendapatkan persetujuan SDHB.

SDHB juga memohon perintah injunksi interim terhadap EY Consulting sementara menunggu keputusan saman pemula untuk menghalang EY Consulting daripada mendedahkan atau menyebarkan apa-apa penemuan, laporan, memorandum, pendapat mengenai SDHB dan kumpulan syarikatnya, sama ada secara keseluruhan atau sebahagian, kepada sesiapa, dalam apa-apa format sama ada dalam cetakan, secara elektronik atau melalui mana-mana media atau forum.

Selain itu SDHB juga memohon ganti rugi dan kos daripada EY Consulting.

Artikel Berkaitan:

Permohonan bagi pendengaran perintah injunksi interim ditetapkan pada 11 November dan pengurusan kes saman pemula ditetapkan pada 17 November. - Bernama