Dr Akmal terjun dunia politik, perluas akses bantu masyarakat

Dr Muhamad Akmal
Dr Muhamad Akmal
A
A
A

MELAKA - Ketika ditanya tidak cukupkah menjadi doktor untuk berkhidmat kepada masyarakat, reaksi calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Salleh ialah, dia mahukan akses lebih luas bagi menabur khidmat terbaik kepada lebih ramai orang.

Justeru, bagi Dr Akmal, keputusannya untuk menyertai dunia politik adalah bagi membolehkan dirinya terlibat secara langsung dalam kumpulan ‘decision maker’ supaya beliau boleh memberikan khidmat lebih besar kepada lebih ramai rakyat.

“Kalau ada yang bertanya, jadi doktor tidak cukupkah untuk berkhidmat kepada masyarakat? Cukup. Tetapi contohnya kalau seorang makcik yang susah datang, saya boleh mungkin tolong dia bagi perkhidmatan perubatan percuma bernilai RM50 atau RM100 pada masa itu sahaja, tetapi saya tak boleh beri khidmat kepada dia sampai anak cucu dia.

“Bagaimanapun dalam politik ia agak berbeza, dalam politik anda penentu dasar (decision maker), saya boleh buat satu dasar yang bukan hanya bantu makcik itu sahaja, tetapi bantu lebih ramai orang,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan khas Bicara Melaka yang disiarkan dalam Facebook BN COMMS di sini.

Menurut anak muda berusia 33 tahun itu, tidak timbul isu beliau menyertai politik untuk mencari kedudukan kerana niatnya menceburi dunia politik ialah bagi memanfaatkan tenaga mudanya untuk memberi khidmat kepada masyarakat.

Pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Merlimau selama dua tahun, Dr Akmal tidak menoleh ke belakang apabila membuka klinik sendiri di kawasan itu untuk terus memberi perkhidmatan kepada rakyat setempat.

Dengan motto ‘Anak Kampung Untuk Orang Kampung’, Klinik Dr Akmal Saleh 24 jam yang terletak di Bandar Baru Merlimau tetap dibuka seperti biasa bagi membolehkan beliau terus berkhidmat kepada masyarakat kampungnya.

“Susur galur hidup saya memang di Merlimau, ibu bapa saya juga orang Merlimau, hidup mati saya di Merlimau,” katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dari Russian Medical University, Rusia.

Artikel Berkaitan:

Dr Akmal yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno Jasin serta Naib Ketua Pemuda Umno Melaka sebelum ini membawa idea ambulans percuma untuk golongan miskin dan asnaf sejak setahun lepas.

Beliau adalah antara calon muda yang dipertaruhkan BN, dan akan bertembung dengan calon Pakatan Harapan Azrin Ab Majid dan Abd Alim Shapie daripada Perikatan Nasional bagi merebut kerusi DUN Merlimau. - Bernama

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my