Fazs Faozi juara Pencarian Nona Superwoman

Pemenang Pencarian Nona Superwoman pada pentas akhir program tersebut pada Rabu
Pemenang Pencarian Nona Superwoman pada pentas akhir program tersebut pada Rabu
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Usahawan kosmetik, Fazs Faozi dinobatkan sebagai juara Pencarian Nona Superwoman pada pentas akhir program tersebut.

Fazs, atau nama sebenarnya, Norfazlina Mohd Faozi membawa pulang wang tunai RM50,000 dan trofi.

Tempat kedua atau gelaran Most Inspiring pula dimenangi oleh usahawan Wow Sambel, Syu Ramli dengan membawa pulang RM10,000 dan trofi.

Sementara pemilik butik kek premium, Halwa.an, Ana Najia diangkat pada kedudukan ketiga dengan gelaran Most Favourite yang turut membawa pulang wang tunai RM10,000 dan trofi.

Pencarian Nona Superwoman memberi peluang kepada usahawan B40 dan M40 yang terjejas akibat Pandemik Covid-19 untuk berkembang dalam industri menerusi program lapan episod sejak 22 September lalu.

Bercakap kepada pemberita, Fazs, 35, menyifatkan kemenangan yang diperoleh merupakan satu permulaan untuk terus mengorak langkah meneroka bidang perniagaan kosmetiknya, Fazsbeauty selepas tersungkur penangan badai Covid-19.

"Saya tidak menyangka (dinobatkan juara) dan ini adalah satu tanggungjawab berat untuk terus kekal bersaing di dalam industri," katanya.

Finale program realiti itu adalah anjuran Majalah Nona yang diperkasakan oleh Usanita telah diadakan di Pusat konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Prima selama sejam, jam 9 malam pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rina Harun, Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn Bhd, Syamil Fahim Mohamed Fahim dan isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad.

Sementara itu, Rina menasihati usahawan agar tidak mudah putus asa dalam mengharungi liku-liku perniagaan.

"Cari ilmu dengan mentor dan anggap ini sebagai satu pengalaman untuk terus berjaya," katanya.