X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 17 Januari 2022

Lelaki Bangladesh ditipu rakan senegara jadi mangsa sindiket

Mosharaf berkata beliau terpaksa menjual kilang aiskrim miliknya di bandar Cumilla, Bangladesh untuk biayai kos perjalanan ke Malaysia enam tahun lalu.
A
A

KUALA LUMPUR - Hasrat seorang lelaki warga Bangladesh memulakan perniagaan di Malaysia tidak kesampaian selepas ditipu rakan senegara yang dipercayai ejen sindiket pemerdagangan manusia.

Mosharaf, 37, berkata, beliau terpaksa menjual kilang aiskrim miliknya di bandar Cumilla, Bangladesh untuk membiayai kos perjalanan ke Malaysia enam tahun lalu.

"Di Bangladesh setiap enam bulan suhu sejuk. Jadi saya bercadang hendak berniaga di sini kerana ada kawan cadangkan buka kilang di Malaysia kerana cuaca sentiasa panas," katanya ketika ditemui di sidang media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini pada Rabu.

Menurut Mosharaf, dia datang ke Malaysia menggunakan visa profesional melalui seorang rakan yang bekerja sebagai ejen di Bangladesh.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lapangan terbang dia dibawa ke sebuah rumah di Shah Alam dan dikurung.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu memberitahu, pihak sindiket meminta sejumlah wang daripada keluarganya di Bangladesh sebagai syarat untuk melepaskannya.

"Saya dikurung di tingkat tiga sebuah rumah pangsa di Shah Alam bersama beberapa warga Bangladesh lain tanpa diberi makan. Saya cuba hubungi rakan yang bekerja sebagai ejen tetapi gagal.

"Isteri saya terpaksa membayar sebanyak RM20,000 melalui pemindahan dalam talian kepada pihak sindiket untuk melepaskan saya," katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan syarikat swasta mengambil kesempatan terhadap buruh asing yang ingin mencari rezeki dengan dijanjikan pendapatan lumayan tidak wajar.

"Syarikat swasta ini berurusan dengan syarikat atau sindiket di negara sumber untuk mengutip bayaran RM15,000 ke RM20,000 satu pekerja untuk layak bekerja di negara kita.

"Justeru, saya minta kerajaan mengkaji semula sistem kemasukan buruh asing ke negara ini termasuk tidak melantik pihak ketiga (syarikat swasta) sebagai ejen bagi menghapuskan kegiatan penyalahgunaan kuasa seumpama ini," ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!