Lebih 920,000 ahli pertubuhan peladang bakal terima manfaat PELADANG-i

Ronald (tengah) pada Pelancaran Majlis Pra-Pelancaran Smart Card Keluarga Peladang dan Countdown Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK 2021) di Kuala Lumpur pada Rabu.
Ronald (tengah) pada Pelancaran Majlis Pra-Pelancaran Smart Card Keluarga Peladang dan Countdown Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK 2021) di Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyasarkan lebih 920,000 ahli pertubuhan peladang bakal memiliki Kad Pintar Keluarga Peladang (PELADANG-i) menjelang penghujung tahun 2022.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kad tersebut bagi memudahkan transaksi pembayaran tanpa tunai dalam urusniaga ahli dengan semua operasi perniagaan pertubuhan peladang.

Tambahnya, inisiatif tersebut selaras dengan program Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0) yang telah dilancarkan baru-baru ini, pemodenan sektor pertanian menjadi teras utama dalam sektor tersebut.

“Ia juga telah dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi mengenal pasti pertanian pintar sebagai salah satu aktiviti strategik dan berimpak tinggi yang dapat menjana semula pertumbuhan ekonomi negara.

“Sepanjang tempoh RMK12, MAFI akan memberi tumpuan kepada pemodenan sektor agro makanan bagi meningkatkan produktiviti dan menjamin sekuriti makanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran Majlis Pra-Pelancaran Smart Card Keluarga Peladang dan Countdown Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK 2021) pada Rabu.

Turut hadir Timbalan Menteri 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Timbalan Menteri 2, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh; Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid; Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Che Abdullah Mat Nawi; Ketua Pengarah LPP, Datuk Azulita Salim dan Penanggung tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ronald berkata, kerajaan sedang melaksanakan pelbagai pelan tindakan dan inisiatif dalam menerajui sektor pertanian dan industri makanan ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) selaras dengan DAN 2.0.

Menurutnya, kad tersebut merupakan kad identiti keahlian Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) di seluruh negara bagi memudahkan transaksi pembayaran tanpa tunai.

Tambah Ronald, melalui kad itu juga, ahli peladang juga akan diberi perlindungan Takaful Kasih Plus sehingga RM5,000 atas musibah yang berlaku dengan sumbangan ahli RM5 setahun.

Ronald (tengah) pada sidang media selepas Pelancaran Majlis Pra-Pelancaran Smart Card Keluarga Peladang dan Countdown Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK 2021).
Ronald (tengah) pada sidang media selepas Pelancaran Majlis Pra-Pelancaran Smart Card Keluarga Peladang dan Countdown Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK 2021).

“Skim ini selaras dengan sokongan dan galakan kerajaan melalui Bajet 2022 yang memperuntukkan sebanyak RM5 juta supaya semua ahli PPK seluruh Malaysia diberi perlindungan.

“Agrobank juga sedang berusaha keras dalam mewujudkan Skim Takaful Agromakanan untuk membantu golongan sasar yang ditimpa musibah sama ada bencana, serangan penyakit dan ketidaktentuan cuaca yang menjejaskan pendapatan mereka,” ujarnya.

Tambah beliau, kementerian percaya inisiatif tersebut akan terus diperkasakan dan melonjakkan penggunaan teknologi digital dalam kalangan ahli peladang ke arah era digitalisasi.

Sementara itu, Ronald berkata, penggunaan Kad Pintar oleh semua ahli peladang akan memudahkan kerajaan dalam mengakses maklumat golongan sasar untuk menyampaikan pelbagai bentuk bantuan, subsidi dan insentif.

“Data dan maklumat keahlian yang ada termasuk pendapatan, lokaliti dan identiti peladang juga memudahkan kerajaan menyediakan dasar-dasar yang lebih holistik bagi golongan masyarakat peladang, penternak dan nelayan,”ujarnya.

Pada masa sama, Ronald turut melancarkan 'Road to HPPNK 2021' yang bertemakan Terima Kasih Keluarga Agro yang akan dilaksanakan secara hibrid pada 21 hingga 23 Disember ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Ujar beliau, sebanyak lima anugerah yang akan disampaikan dalam HPPNK 2021 yang meliputi pelbagai kategori bagi menzahirkan penghargaan kepada peladang, penternak dan nelayan.

“Antara tarikan utama ialah segmen Mega Agro Sales (MAS) yang akan menampilkan 200 usahawan dengan lebih 2,000 ‘Stock Keeping Unit’ (SKU) produk.

“Program ini turut menyasarkan 500 peserta secara fizikal di WTCKL dan secara langsung dalam talian dengan melayari hppnk2021.my.

“Kementerian berharap penganjuran HPPNK 2021 akan memberi satu harapan baharu kepada kumpulan sasar dan pemain industri untuk memulihkan perniagaan dan merancakkan semula ekonomi negara," katanya.