Beri kelonggaran calon berkempen: Tok Mat

Mohamad (tengah) ketika mengadakan sidang akhbar selepas melancarkan manifesto BN di Dewan Seri Cendawan di sini pada Rabu.
Mohamad (tengah) ketika mengadakan sidang akhbar selepas melancarkan manifesto BN di Dewan Seri Cendawan di sini pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hassan menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi sedikit kelonggaran kepada calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berkempen sehingga 20 November depan.

Beliau yang juga Pengarah PRN Melaka berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang diputuskan pada Isnin agak keterlaluan sehingga menyukarkan calon berkempen.

“Saya hairan kerana ada laporan jentera kita bukan sahaja tidak boleh pasang bendera malah tidak boleh ada bilik gerakan di pusat daerah mengundi sedangkan di situlah kita bermesyuarat bagi memberikan maklum balas ke Command Centre.

“Jadi saya harap SPR memikirkan semula. Tak usah terlalu melampau sehingga diugut macam-macam. Ada yang sampai mengambil kad pengenalan petugas jentera,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan manifesto BN pada Rabu.

Bagaimanapun, Mohammad Hassan atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mat mengakui kekangan yang dihadapi kerajaan tetapi kelonggaran perlu diberikan kepada setiap calon yang bertanding.

"Jentera kami trauma dan takut. Itu sebabnya tidak banyak bendera serta poster BN. Ini amat sedih.

“Kita nak mengamalkan dan meraikan amalan demokrasi di negara ini tetapi dalam masa sama kita faham kerajaan perlu mengekalkan SOP yang ketat bagi memastikan tiada jangkitan Covid-19,” katanya.

Jelas Mohammad Hassan, Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim River dan Chini sebelum ini memperlihatkan kejayaan tanpa sebarang kluster.

Artikel Berkaitan:

Justeru menurutnya, kaedah kempen perlu diperhalusi semula supaya dapat memberi ruang kepada parti yang bertanding dalam PRN Melaka.

"Kita benarkan berkempen tetapi dengan syarat minimum orang terlibat dan terbabit.

"Kita boleh buat, dah berjaya dah pun dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim River, Chini. UMNO dan BN orang kata mengambil SOP dengan serius. Sebab itu tiada ada apa-apa insiden," katanya lagi.