Suspek utama dicari bantu kes tetak sepupu

Sebilah parang ditemui berhampiran lokasi kejadian, semalam.
Sebilah parang ditemui berhampiran lokasi kejadian, semalam.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Polis sedang memburu seorang lelaki yang menjadi suspek utama menyebabkan kecederaan kepada sepupunya dalam kejadian di persimpangan jalan berhampiran Taman Kurau indah, Kuala Kurau di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, mangsa berusia 37 tahun dilaporkan parah selepas ditetak dengan parang di belakang leher dan kepalanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Sanusi Salleh berkata, sebelum kejadian, suspek yang dikenali sebagai Syafiq berusia 30-an bertindak merempuh motosikal mangsa sebelum menyerangnya.

“Mangsa dalam perjalanan untuk melihat kambing ternakannya telah terserempak dengan suspek sebelum dilanggarnya.

“Bagaimanapun, berlaku pergelutan antara mereka sebelum suspek mencapai parang milik mangsa lalu menetak mengenai belakang kepalanya,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati motif kejadian adalah cemburu.

“Motif kejadian disebabkan cemburu kerana isteri suspek dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan mangsa.

“Polis turut menemui parang sepanjang 0.5 meter di lokasi kejadian. Bagaimanapun, mangsa dilaporkan stabil dan telah menerima rawatan di Hospital Parit Buntar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sanusi berkata, gerakan mengesan suspek yang berasal dari Bukit Mertajam itu masih diteruskan.

“Suspek dipercayai melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal yang tidak dapat dikenalpasti jenisnya. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan suspek dapat tampil menyalurkan maklumat di balai berhampiran,” katanya.

Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.