Komputer Apple-1 dilelong RM1.6 juta

Komputer Apple-1 buatan mendiang Steve Jobs dan Steve Wozniak dilelong di California pada Selasa.
- Foto John Moran Auctioneers
Komputer Apple-1 buatan mendiang Steve Jobs dan Steve Wozniak dilelong di California pada Selasa. - Foto John Moran Auctioneers
A
A
A

LOS ANGELES - Sebuah komputer Apple-1 yang dibina oleh dua orang pengasas bersama syarikat itu, mendiang Steve Jobs and Steve Wozniak kira-kira 45 tahun lalu dilelong pada harga AS$400,000 (RM1.6 juta) di Amerika Syarikat (AS) pada Selasa.

Pada awalnya, komputer tersebut yang masih berfungsi itu dijangka dilelong pada harga AS$600,000 (RM2.4 juta) di California.

Ia adalah antara 200 buah komputer yang dibuat oleh mereka dari sebuah garaj di rumah ibu bapa angkat Jobs di Los Altos, California.

Apa yang menyebabkan komputer itu kelihatan unik ialah ia mempunyai hiasan papan kayu koa pada papan kekunci dan hanya sejumlah kecil Apple-1 dihasilkan dengan menggunakan kayu tersebut.

Kayu koa banyak terdapat di Hawaii.

Ia juga dilelong bersama sebuah monitor video Panasonic.

Menurut laman web firma lelongan John Moran Auctioneers, komputer itu pada asalnya dibeli oleh seorang profesor elektrik di Kolej Chaffey di Rancho Cucamonga, California yang kemudian menjualnya kepada seorang pelajarnya pada tahun 1977.

Akhbar Los Angeles Times melaporkan pelajar tersebut telah membayar sebanyak AS$650 (RM2,696) untuk memilikinya ketika itu. - Agensi

Artikel Berkaitan: